Iklan

Isu ekonomi paling merisaukan pengundi, kata laporan Merdeka Centre

Bede Hong5 years ago5th Jan 2020Berita
Ringgit malaysia 17042017 tmikamal 01
Nilai ringgit yang semakin melemah juga antara kebimbangan yang disuarakan pengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2020.
Iklan

KEBIMBANGAN terhadap ekonomi kekal menjadi isu utama dalam kalangan pengundi sehingga menyaksikan sokongan kepada kerajaan pemerintah semakin menurun, kata Merdeka Centre.

Dalam laporan terbaharunya yang bertajuk ‘Malaysia Political Developments and Trajectories Update’ (Perkembangan Politik Malaysia dan Trajektori Terkini), Merdeka Centre berkata rakyat masih dalam mood berhati-hati dengan 61% pengundi percaya negara menuju ke arah yang salah.

Daripada 738 responden yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu pada hujung November lalu, 26% daripadanya menyuarakan kebimbangan ekonomi sebagai isu utama dan menjadi sebab mereka percaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tersasar dari landasan yang betul.

Antara kebimbangan yang disuarakan responden adalah, situasi ekonomi yang tidak menguntungkan secara umum (10.9%); kos sara hidup tinggi/inflasi (9%); isu gaji/pendapatan minimum/pendapatan rendah (2%); masalah pengangguran (1.6%) dan ringgit melemah (1.6%).

Dalam satu soalan berasingan, responden ditanya mengenai masalah terbesar yang sedang dihadapi negara.

Hasilnya, sejumlah 61.5% responden menyatakan kebimbangan terhadap situasi ekonomi negara disusuli isu perkauman (7.5%); kepimpinan (4.2%); keselamatan awam dan sosial (3.1%) dan politik (1.5%).

Kebimbangan terhadap ekonomi menunjukkan hasil yang hampir setara dalam semua kumpulan etnik iaitu 62.8% orang Melayu menyuarakan kerisauan isu itu disusuli Cina (59.5%), India ( 59.4%), Bumiputera Islam (53.2%) dan Bumiputera bukan Islam (53.2%).

Lima isu paling penting yang dibimbangi pengundi adalah inflasi  (53.1%), peluang pekerjaan (22.2%), rasuah (20.8%), hak orang Melayu/layanan adil terhadap semua kaum (20.5%) dan kestabilan politik (17.8%).

“Tahap keyakinan pengundi terhadap PH untuk mengendalikan ekonomi terus menurun disebabkan cara kerajaan berbelanja, penjualan aset dan ketidaktentuan inisiatif pembinaan infrastrutur awam yang dicadangkan (seperti menghapuskan tol),” kata laporan itu.

Tambanya langkah kerajaan mengumumkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 tidak menghentikan trend penurunan keyakinan rakyat terhadap mereka.
 
Setakat 22 November tahun lalu, hanya 20% responden setiap kaum merasakan negara ini berada di landasan yang tepat dan jumlah itu menurun daripada 64% pada Jun 2018.

“Sentimen pengundi di setiap peringkat terus menurun ekoran isu umum yang tercetus dalam tempoh enam bulan lepas.

“Antara isu yang berbangkit, pengajaran Jawi di sekolah vernakular, pemansuhan elaun kritikal, kenyataan berhubung skim pencen penjawat awam, penahanan wakil rakyat DAP kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas LTTE, dan perdebatan yang semakin panas berhubung isu agama dan kaum,” kata laporan itu. – 5 Januari, 2020.

Iklan
Iklan