Pendakwaan mohon cabar keterangan bercanggah Najib
Iklan
PIHAK pendakwaan perbicaraan kes SRC International memohon untuk mencabar Najib Razak kerana membuat kenyataan bercanggah di mahkamah berbanding kenyataan diberikan ketika disoal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pendakwa Raya Khas V Sithabaram memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang pendakwaan memohon pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 145 (1) dan 155 (c) Akta Keterangan 1950.
Sithambaram memberitahu mahkamah yang Najib- juga ahli Parlimen Pekan- tidak pernah mempertikai ketulenan tandatangannya apabila keterangan diambil SPRM.
Sebelum itu, Sithambaram melakukan soal balas terhadap Najib berkaitan dokumen SRC International yang ditandatanganinya.
Sithambaram: Bukti anda dalam keterangan pertama saksi (dibaca dalam mahkamah pada Disember) yang anda tidak tandatangan empat bahan bukti, P501, P534, D535 dan P277?
Najib: Ya
Sithambaram: Dan dalam keterangan saksi kedua (tambahan) anda, isinya adalah, bahawa anda kenal pasti empat dokumen itu kerana tandatangannya kelihatan seperti tandatangan anda. Itu makna penjelasan anda?
Najib: Ya
Sithambaram: Anda juga kata “saya yang tandatangan dokumen itu” dalam keterangan SPRM?
Najib: Ya
Ketika itu, Sithambaram memaklumkan Nazlan yang pendakwaan memohon untuk mencabar (keterangan) Najib.
Sithambaram: Undang-undang jelas. Undang-undang kata apabila permohonan seperti ini dibuat, apa yang perlu dilakukan adalah untuk pendakwaan mencabar keterangan ini. Yang Arif perlu tengok, dan jika Yang Arif fikir ia terlelau remeh, kita akan teruskan. Jika Yang Arif percaya ada percanggahan bahan (keterangan bukti) maka saksi perlu buat penjelasan.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah membantah permohonan itu, berkata, ia dibuat tanpa niat baik atau “bona fide”, dan ia tidak mengambil kira permohonan pembelaan untuk memanggil pakar tulisan Australia hadir di mahkamah, pagi esok.
Nazlan berkata, beliau akan membenarkan permohonan dibuat, dan selepas mahkamah berhenti rehat seketika, sebelum membuat keputusan mengenainya.
Seksyen 145 Akta Keterangan melibatkan pernyataan balas tentang pernyataan terdahulu dikemukakan saksi, manakala Seksyen 155 akta sama menyentuh cabaran kebolehpercayaan saksi.
Jika Najib gagal memberikan penjelasan diterima mahkamah, keterangannya tidak akan diterima sebagai bahan bukti.
Pemimpin berusia 66 tahun itu berdepan pertuduhan kes SRC International melibatkan pinjaman RM4 bilion dibuat kepada syarikat itu pada 2011 dan 2012, beliau dituduh menerima suapan berjumlah RM42 juta pada 2014 dan 2015. – 6 Januari, 2020.