Selangor tak beri kerjasama punca PR1MA tak capai sasaran
Iklan
PUTRAJAYA tidak dapat membina rumah seperti jumlah yang ditetapkan di Selangor kerana tiada kerjasama daripada kerajaan negeri, kata Noh Omar di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata kerajaan merancang untuk membina 51,000 unit rumah Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di negeri itu, namun hanya 11,000 unit rumah dapat dilaksanakan.
“Kita rancang buat 51,000 tapi yang kita sudah dibuat 11,000. Sebab apa tak capai 51,000? Sebab kerjasama daripada kerajaan negeri sekarang.
“Kuasa untuk berikan kelulusan memberi kebenaran merancang (pada) kerajaan negeri,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Khalid Samad (Shah Alam-Amanah).
Pengarah komunikasi Amanah itu sebelum ini dalam soalannya meminta Noh menyatakan perancangan kementeriannya untuk memastikan sasaran kerajaan membina rumah mampu milik yang dapat dicapai sebelum menjelangnya 2018.
Noh dalam jawapan lisannya berkata, sasaran kerajaan untuk pembinaan rumah mampu milik di seluruh negara sebanyak sejuta unit sebelum dinaikkan ke 1.1 juta atas permintaan ramai.
Bagaimanapun, sasaran hanya dapat dicapai sebanyak 255,341 unit daripada jumlah yang ditetapkan.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut, Khalid mempertikaikan mengapa jumlah 900,000 unit rumah lagi masih tidak dapat disiapkan.
“Tempoh masa dah nak habis (yang) dijanjikan masa PRU (pilihan raya umum).
“Jumlah ketinggalan (pembinaan) satu jumlah yang begitu tinggi, saya nak dapatkan penjelasan.
“Adakah ini satu hakikat yang Barisan Nasional hanya buat janji-janji manis bila nak dekat PRU?,” soal Khalid. – 2 November, 2017.