Najib kata tak tahu siapa palsukan tandatangan
Iklan
BEKAS perdana menteri Najib Razak berkata beliau tidak tahu siapa yang memalsukan tandatangannya pada dokumen SRC International Sdn Bhd, termasuk dokumen yang meluluskan RM3.6 bilion dipindahkan ke luar negara.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu wang tersebut dipindahkan antara lain kepada BSI Bank di Switzerland dan Bank Julius Baer & Co. Ltd di Hong Kong, antara 2011 dan 2011.
Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram, Najib menegaskan beliau tidak pernah menandatangani dokumen yang meluluskan pelaburan di luar negara.
Dokumen yang ditunjukkan di mahkamah itu termasuklah resolusi pemegang saham yang meluluskan SRC International melabur sebanyak RM3.6 bilion di luar negara.
Najib menafikan tandatangan pada dokumen itu miliknya.
Bekas menteri kewangan itu menambah, lembaga pengarah SRC International tidak pernah memaklumkan kepadanya mengenai keputusan untuk mengambil sebahagian besar daripada RM4 bilion pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dilaburkan di luar negara.
Sithambaram meminta Najib beritahu mahkamah siapa yang “begitu berani” memalsukan tandatangannya.
Sithambaram: Kamu (bekas) perdana menteri dan menteri kewangan. Ini SRC International, syarikat berkaitan kerajaan bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), tetapi kamu asyik beritahu tandatangan kamu dipalsukan. Siapa yang berani palsukannya?
Najib: Saya percaya Suboh (bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin) juga dakwa benda yang sama, tandatangan itu dipalsukan.
Sithambaram: Kamu tidak berhenti beritahu mahkamah tandatangan kamu dipalsukan. Siapa yang berani buat begitu di syarikat berkaitan kerajaan?
Najib: Saya tak tahu. – 7 Januari, 2020.