Iklan

KDN patut bertanggungjawab ke atas keselamatan Anwar, kata Pakatan

Yasmin Ramlan7 years ago2nd Nov 2017Berita
Anwar ibrahim tv3 high court 06 (1)
Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi dituntut beri penjelasan mengenai penangguhan rawatan Anwar Ibrahim ke hospital berikutan kemalangan yang menimpanya pada September lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2017.
Iklan

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengabaikan keselamatan dan kebajikan Anwar Ibrahim. 

Membangkitkan isu mengenai kecederaan Anwar berikutan kemalangan yang menimpanya pada September lalu, Ketua Whip PKR Johari Abdul yang mengetuai  sidang media itu menuntut penjelasan dari Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi mengenai penangguhan rawatan ke hospital. 

“Mengapa tiada siasatan terhadap kemalangan yang berlaku?

“Ini adalah kali pertama satu konvoi membawa Anwar terlibat dalam kemalangan. Walaupun banyak perjalanan keluar masuk dari penjara telah dilakukan termasuk ketika beliau dipenjarakan pertama kali selama enam tahun, sehingga kini, tiada sebarang kemalangan seumpama itu berlaku,” katanya pada satu sidang media di Parlimen hari ini.

September lalu, kereta yang membawa bekas ketua pembangkang itu terpaksa menekan brek secara tiba-tiba, yang mengakibatkan kereta tersebut dilanggar oleh kereta pengiring di belakang yang tidak sempat menekan brek.

Akibat daripada itu, ia menyebabkan kecederaan sedia ada di bahu kanannya sebelum ini.

Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa yang juga salah seorang peguam Anwar berkata selepas kemalangan tersebut keadaan fizikal Anwar bertambah teruk dan beliau tidak mampu berjalan dalam keadaan normal.

“Saya sempat jumpa (Anwar) lepas kemalangan. Saya lihat tahap sakit dia jauh lebih tinggi dari dulu.

“Dia berdiri, duduk semua nampak dengan jelas dia dalam kesakitan. Tahap dia terpaksa ambil painkiller meningkat,” katanya yang kali terakhir bertemu dengan Anwar pada Jumaat lalu.

Mereka yang menuntut penjelasan dari pihak KDN juga mempertikaikan Timbalan Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Jeyaindran Sinnathurai yang sentiasa menangguhkan rawatan Anwar.

“Mengapa Dr Jeyaindran sentiasa menangguhkan rawatan Anwar? Mengapa dia memerlukan tiga hari selepas kemalangan untuk mengarahkan supaya Anwar dibawa kembali ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan dan lawatan lanjut?

“Mengapa permintaan ahli-ahli keluarga dan peguam-peguam Anwar supaya beliau diberikan fisioterapi tambahan secara kerap dan rawatan intensif untuk meringankan kesakitan tidak diendahkan oleh pihak kerajaan Persekutuan?” soal Johari. – 2 November, 2017.

Iklan
Iklan