Intip telefon kerja orang dalam, kata peguam Najib
Iklan
PEGUAM kepada Najib Razak percaya tindakan mengintip telefon bekas perdana menteri pada awal 2016 hanya dapat dilakukan dengan konspirasi dalam kerajaan, dan bukannya oleh individu.
“Saya ragu-ragu ia kerja individu,” kata Muhammad Shafee Abdullah kepada pemberita selepas perbicaraan kes SRC International hari ini.
“Saya cuba mengangak. Saya rasa ia kerja orang dalam. Ia kerja orang dalam dan tiba-tiba mereka sedar mereka perlu mempengaruhi kes (terhadap Najib) dan mereka membocorkannya.”
Shafee mengulas mengenai rakaman audio yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal hari ini yang mendedahkan konspirasi untuk memanipulasi maklumat kerajaan peringkat tertinggi mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd.
Shafee, yang mewakili bekas perdana menteri itu dalam tiga perbicaraan kes jenayah yang sedang berjalan, percaya intipan telefon perdana menteri adalah salah di sisi undang-undang.
“Anda tidak boleh melakukannya. Anda mesti mempunyai kuasa dan sekurang-kurangnya daripada pihak peguam negara,” katanya.
“Ia boleh menjadi peguam negara sendiri, atau peguam cara negara yang memberikan anda kebenaran, atau mesti ada tahap pelepasan keselamatan sebelum anda boleh membuat intipan.”
Shafee juga berkata klip audio itu tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah kerana ketua SPRM Latheefa Koya berkata sebelum ini agensi berkenaan menerima klip daripada sumber tanpa nama baru-baru ini. – 8 Januari, 2020.
Berita penuh di sini