Iklan

Sistem cuti selepas 'on-call' belum boleh dilaksanakan, kata menteri

Yasmin Ramlan7 years ago2nd Nov 2017Berita
Subramaniam moh 050717 tmiseth 05 (1)
Menteri Kesihatan S. Subramaniam berkata kekurangan pengamal perubatan menyebabkan sistem cuti penuh selepas "on-call" tidak dapat dilaksanakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2017.
Iklan

SISTEM cuti sepenuhnya selepas bertugas “on-call” bagi pengamal perubatan belum boleh dilaksanakan berikutan tenaga pekerja yang tidak mencukupi, kata menteri.

Menteri Kesihatan S. Subramaniam berkata, sekiranya ia dilaksanakan, mungkin hanya di beberapa hospital di negara terlibat.

“Sistem cuti penuh untuk diberi terpulang kepada jumlah pegawai perubatan di dalam satu-satu hospital dan unit. Kalau kita sampai satu tahap yang cukup, mungkin itu akan dilihat pada satu jangka panjang dan pada masa sekarang, dengan kemudahan sedia ada,” katanya menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Segamat itu berkata, jumlah pengamal perubatan yang sedia ada setakat ini membuatkan kementerian kesihatan tidak dapat melaksanakannya di hospital negara ini.

“Kalau boleh pun, mungkin di satu atau dua hospital ia (dapat) dilaksanakan. Di hospital lain tidak boleh dilaksanakan. Jadi, kita kena tunggu pada satu masa di mana kementerian kesihatan dan hospital mempunyai jabatan yang mencukupi di mana mereka (boleh) diberi cuti sepenuhnya selepas bertugas “on-call”,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Kuala Selangor Irmohizam Ibrahim yang memintanya menjawab cadangan Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) untuk berikan petugas perubatan “on call” cuti sepenuhnya selepas tugas untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Ini berikutan beberapa kes kemalangan membabitkan petugas perubatan atas panggilan termasuk pakar bius Hospital Sungai Buloh Dr Afifah Mohd Ghazi dan pelajar tahun 3 Sarjana (pakar) kanak-kanak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian Dr Nurul Huda Ahmad yang maut, masing-masing pada 9 Mei lalu dan 8 Julai 2015. – 2 November, 2017.

Iklan
Iklan