Hutang negara masih dalam keadaan terurus, kata Putrajaya
Iklan
PUTRAJAYA mengkategorikan kedudukan hutang negara sebagai terurus dan keberhutangan sederhana dengan hutang sebanyak RM685.1 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Bagaimanapun, menurut jawapan lisan Kementerian Kewangan di Parlimen hari ini, Putrajaya akan memastikan paras hutang kerajaan tidak melebihi 55% daripada KDNK.
Kini hutang negara mencatatkan sebanyak 50.9% daripada KDNK.
“Daripada jumlah berkenaan, 96.7% atau RM662.4 bilion adalah hutang domestik (49.2% daripada KDNK), sementara 3.3% lagi atau RM22.7 bilion (1.7% daripada KDNK) merupakan pinjaman luar pesisir.
“Kedudukan hutang kerajaan persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana,” menurut jawapan kementerian tersebut.
Jawapan dari Kementerian Kewangan itu menjawab soalan lisan dari Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan jumlah hutang negara dalaman dan luaran.
“Kerajaan terus komited dalam memastikan paras hutang kerajaan Persekutuan tidak melebihi 55% daripada KDNK. Bagi memastikan paras hutang kerajaan Persekutuan kekal rendah dan terurus, langkah konsolidasi fiskal akan terus diamalkan bagi mengurangkan paras defisit secara berperingkat.
“Kedudukan ini seterusnya akan mengurangkan keperluan kerajaan untuk meminjam dan dapat menurunkan keperluan kerajaan untuk meminjam dan dapat menurunkan paras hutang.
“Kepatuhan yang tegas terhadap disiplin fiskal serta pengurusan hutang yang baik terus diberikan penekanan bagi memastikan kedudukan fiskal dan makroekonomi terus kukuh serta dapat menampan sebarang krisis,” katanya. – 2 November, 2017.