Prosiding hina mahkamah ke atas Lokman pincang, kata Shafee
Iklan
PEGUAM Lokman Noor Adam hari ini berhujah bahawa permohonan peguam negara untuk mendakwa ahli Majlis Tertinggi Umno itu atas tuduhan menghina mahkamah pincang dan kerana itu perlu ditolak mahkamah.
Peguam Negara Tommy Thomas mahu mendapatkan perintah mahkamah supaya Lokman dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah kerana didakwa mengugut saksi kes perbicaraan 1MDB Amhari Efendi, pada 25 September tahun lepas.
Amhari adalah bekas pegawai khas tertuduh kes 1MDB, bekas perdana menteri Najib Razak.
Peguam Lokman, Muhammad Shafee Abdullah hari ini berhujah, bahawa prosiding komital terhadap anak guamnya perlu ditolak kerana kertas pendakwaan difailkan peguam negara gagal menyatakan peruntukan khusus bagi membolehkan mahkamah tinggi meneruskan prosiding terhadap Lokman.
Kertas pendakwaan tidak menyatakan tentang Seksyen 13 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kata Shafee di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah yang mendengar kes 1MDB.
Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah dalam kes 1MDB.
Shafee yang juga peguam Najib, menambah notis tunjuk sebab itu juga pincang kerana ia dikeluarkan oleh Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berhujah hanya mahkamah tinggi mempunyai kuasa dan bidang kuasa mengeluarkan notis tunjuk sebab dan memanggil individu untuk menjelaskan dakwaan menghina mahkamah.
Tambahnya lagi, peguam negara juga gagal menyediakan butiran terperinci dan bahan bukti berkaitan tuduhan menghina mahkamah dikenakan ke atas Lokman.
Katanya, tuduhan itu kabur dan tidak mendedahkan tindakan atau perkataan manakah yang dianggap menghina mahkamah.
“Ia gagal meletakkan apakah perkataan sebenar yang dilontarkan atau tindakan responden yang bermaksud menakut-nakutkan saksi yang boleh dianggap campur tangan dalam pentadbiran kehakiman,” kata Shafee.
Tambahnya, identiti individu yang merakamkan wawancara itu juga tidak didedahkan.
Katanya, pematuhan ketat perlu dikenakan ke atas syarat prosiding menghina mahkamah bagi memastikan responden jelas dengan tuduhan terhadapnya dan berpeluang menjawab tuduhan itu.
Sequerah berkata beliau akan mengeluarkan penghakiman mengenai perkara itu pada Selasa depan.
Lokman yang turut berada di mahkamah hari ini tidak bercakap kepada media.
Peguam negara mendakwa Lokman dalam satu wawancara video “mengeluarkan perkataan yang dianggap meluahkan atau membuat ugutan” terhadap Amhari kerana memberi bukti pada perbicaraan kes 1MDB.
Pada hari sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari.
Thomas berkata Lokman berniat menganggu dan menakut-nakutkan Amhari, saksi lain dan bakal saksi yang mungkin tampil memberi keterangan dan bukti terhadap Najib pada perbicaraan kes 1MDB. – 9 Januari, 2020.