Iklan

Kerajaan harus selesaikan isu defisit kepercayaan, kata ahli ekonomi

Amin IskandarMelati A. Jalil7 years ago2nd Nov 2017Berita
Forum budget 2018 analysis economy 02
Pengarah Urusan DM Analytics, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata persoalan pengagihan Bajet 2018 tidak begitu penting berbanding bagaimana peruntukan itu dibelanjakan semasa 'Forum Bajet 2018 Analisis Ekonomi dan Agenda Melayu' di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 2 November, 2017.
Iklan

DEFISIT keyakinan perlu diselesaikan untuk menggembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan, kata seorang ahli ekonomi.

Pengarah Urusan DM Analytics, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata tidak begitu penting bagaimana pengagihan dalam Bajet 2018 dilakukan tetapi paling utama ialah bagaimana peruntukan dibelanjakan.

“Apabila kita bercakap tentang pembangunan ekonomi, syarikat berbelanja, rakyat berbelanja, ia berkait dengan bagaimana rakyat menilai tadbir urus korporat.

“Jika rakyat mempunyai keyakinan tentang bagaimana negara ini ditadbir, rakyat akan mempunyai lebih keyakinan untuk berbelanja,” kata penulis buku “Antara Dua Darjat” itu pada Forum Bajet 2018 Analisis Ekonomi dan Agenda Melayu di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, tidak begitu penting apa yang Bajet 2018 boleh lakukan kepada rakyat Malaysia kerana isu keyakinan perlu diselesaikan.

“Kita sudah kutip cukai barang dan perkhidmatan (GST) lebih kurang RM100 bilion sejak diperkenalkan.

“Kenapa orang rasa gusar, kerana keyakinan tidak ada. Saya bekerja keras, semua orang bekerja keras. Bila kita bayar cukai tapi tak nampak hasil.

“Kita sudah menghabiskan banyak duit untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Tahun depan jumlah perbelanjaan hampir RM30 bilion untuk BR1M. Adakah ia berkesan?

“Orang sapu sana sini, tak kena tangkap. Dulu Kementerian Belia dan Sukan ada kes RM100 juta tapi dalam Bajet 2018 nak bagi lagi RM1 bilion.” 

Beliau merujuk kepada kes pegawai kanan kementerian itu yang terlibat dalam penyelewengan dana RM100 juta pada 2016.

Sebelum ini, penulis Karim Raslan pernah membangkitkan perkara sama dalam tulisan bertajuk “Malaysia dan defisit keyakinan”.

Muhammed berkata di negara-negara Skandinavia, walaupun cukai tinggi, tetapi rakyat tidak membantah kerana mereka mempunyai keyakinan kepada kerajaan.

“Bayar cukai, tetapi kemudahan semua boleh dilihat depan mata, pendidikan berkualiti.

“Kepercayaan berkait dengan keyakinan. Keyakinan dalam melabur contohnya. Jika kita tidak melihat isu ini, masalah akan timbul.

“Kita harus melihat sesuatu belanjawan itu dari sisi ini,” katanya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Najib Razak membentangkan Bajet 2018 yang akan membelanjakan RM280.25 bilion tahun depan – satu pertambahan 7.5% berbanding tahun ini. – 2 November, 2017.

Iklan
Iklan