Najib mula tindakan hina mahkamah terhadap Latheefa Koya
Iklan
NAJIB Razak akan memfailkan notis hina mahkamah terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya kerana mendedahkan sembilan rakaman audio yang didakwa menunjukkan bagaimana bekas perdana menteri itu berkonspirasi dengan beberapa individu bagi menutup skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam yang mewakili Najib, Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan tindakan undang-undang akan diambil namun tidak mendedahkan lebih lanjut butirannya.
Pada sidang media pendedahan rakaman audio berkenaan Rabu lalu, Shafee menyifatkan tindakan Latheefa sebagai “subjudice” dan menghina mahkamah.
Peguam berkenaan turut mempersoalkan keperluan untuk mendedahkan rakaman audio berkenaan sebelum diserahkan kepada polis sebagai bukti untuk disiasat.
Beliau juga percaya Latheefa telah melanggar Akta Rahsia Rasmi kerana beberapa perkara yang dibincangkan dalam sidang media itu adalah sulit.
“Sejak bila, apabila melibatkan keselamatan negara, kamu dedahkan kepada umum. Sepatutnya, keselamatan negara adalah perkara rahsia yang disimpan dalam agensi yang menyiasatnya,” katanya kepada pemberita minggu lalu.
Rakaman perbualan telefon yang didedahkan SPRM, memaparkan beberapa individu bercakap mengenai kes 1MDB dan bagaimana ia memberi kesan kepada Najib dan anak tirinya Riza Aziz selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memulakan siasatan pengubahan wang haram pada 2016.
Perbualan itu dipercayai berlaku antara Januari dan Julai, 2016, dan menunjukkan beberapa pihak cuba untuk menutup kes berkenaan.
Latheefa berkata, rakaman berkenaan dihantar oleh sumber yang tidak diketahui selepas tahun baharu.
Tambahnya, Najib dan isteri mungkin akan berdepan lebih banyak pertuduhan baharu.
Naib dan Rosmah kini berdepan 42 dan 20 pertuduhan masing-masing melibatkan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan rasuah.– 13 Januari, 2020.