Bekas CEO 1MDB tangguh pemeriksaan balas saksi
Iklan
PASUKAN peguam yang mewakili Arul Kanda Kandasamy memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini pihaknya berhak menangguhkan pemeriksaan balas saksi pendakwaan sehingga bekas CEO 1MDB itu dipanggil ke kandang saksi.
Pihak pendakwaan dijangka akan memanggil Arul sebagai saksinya dalam perbicaraan yang mana Najib Razak didakwa mengubah laporan audit 1MDB pada 2016.
“Sebagaimana yang saya maklum, mereka memanggil anak guam saya sebagai saksi pendakwaan,” kata peguam yang mewakili Arul, N. Sivanathan kepada Hakim Mohamed Zaini Mazlan selepas perbicaraan hari ini.
“Justeru itu, kami mahu menangguhkan semua pemeriksaan balas semua saksi pendakwaan sehingga beliau dipanggil.”
Apa yang membuat kes yang belum pernah terjadi ialah Arul, yang juga turut dibicara bersama kerana bersubahat dengan bekas perdana menteri itu, akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi pihak pendakwaan bersama 17 saksi lain.
Timbalan pendakwaraya Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah pada November lalu bahawa Peguam Negara Tommy Thomas yang membuat permohonan di bawah Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Sivanathan ketika bercakap kepada pemberita hari ini berkata, beliau mahu menjaga hak anak guamnya untuk memeriksa balas saksi pendakwaan.
“Saya tidak mahu meletakkan Arul dalam kedudukan yang mengejutkan dengan mengambil sebarang pendirian bagi pihaknya apabila beliau memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.
“Bagaimanapun, pada bila-bila masa ketika mereka memutuskan untuk tidak memanggil Arul sebagai saksi pendakwaan, saya akan memanggil semula saksi untuk diperiksa balas.” – 14 Januari, 2020.