Iklan

Laporan polis dibuat terhadap Raja Petra kerana artikel seksis terhadap Ambiga

Amin Iskandar7 years ago3rd Nov 2017Berita
Raja petra epa 3 nov
Artikel yang ditulis Raja Petra Kamaruddin adalah satu tindakan pelecehan yang mencerminkan corak-corak keganasan lebih luas terhadap wanita dalam masyarakat kita. – Gambar EPA, 3 November, 2017.
Iklan

BEBERAPA kumpulan masyarakat sivil membuat laporan polis terhadap penulis blog Raja Petra Kamaruddin kerana tulisan bersifat seksis dan berbaur perkauman terhadap bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan di blognya.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berkata tulisan di blog Malaysia Today oleh Raja Petra seperti satu “pendakwaan politik” terhadap Ambiga.

“Hanya kerana Ambiga mempunyai pandangan berbeza atau mengkritik kerajaan, mengapa dia diaibkan sebegitu rupa,” kata Maria kepada The Malaysian Insight, merujuk kepada artikel “The tale of Indian and White women”.

Tanpa menamakan sesiapa, Raja Petra menulis “perempuan India itu” jika berada di negara India mungkin terpaksa terlibat dengan aktiviti pelacuran sebagai sumber pendapatan.

Artikel itu dikeluarkan selepas pernyataan pembelaan difailkan Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown diketahui umum yang menyebut Ambiga sebagai salah satu sumber mereka.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di mahkamah London, United Kingdom berhubung artikel yang mendakwa parti Islam itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Najib Razak untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

Naib Ketua Wanita PKR, G Sivamalar yang mengetuai sekumpulan aktivis pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menyelar “kenyataan jijik” Raja Petra itu.

Dalam satu kenyataan petang ini Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) menyelar gangguan pelecehan seks dan berbaur perkauman terhadap Ambiga yang juga bekas pengerusi Bersih.

“Kenyataan ini sangat tidak menghormati wanita dan masyarakat India di Malaysia,” kata JAG dalam satu kenyataan pada petang ini.

JAG berkata pembela hak asasi manusia wanita sering kali berdepan gangguan dan intimidasi, yang berdasarkan seksisme dan keganasan.

“Pelecehan tersebut mencerminkan corak-corak keganasan yang lebih luas terhadap wanita dalam masyarakat kita.

“Kami menyeru semua pihak supaya berhenti cuba menutup mulut dan mengganggu pembela hak asasi wanita dan menegakkan kesopanan serta menghormati masyarakat kita,” kata kenyataan bersama 11 kumpulan itu. – 3 November, 2017.

Iklan
Iklan