Iklan

Mahkamah benarkan Najib panggil pakar tulisan tangan 

Bede Hong5 years ago22nd Jan 2020Berita
Najib razak corruption src trial  high court day 71 01
Bekas perdana menteri Najib Razak (tengah) tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes SRC International hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 22 Januari, 2020.
Iklan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Najib Razak untuk memanggil pakar tulisan tangan bagi mengesahkan tandatangan pada dokumen berkaitan SRC International yang dikemukakan sebagai bukti sebelum ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut menolak usul untuk mengetepikan permohonan oleh pihak pendakwaan.

Pendakwa sebelum ini mengatakan permohonan bekas perdana menteri itu tidak sah kerana beliau hanya berdiam diri mengenai tandatangan palsu ketika peringkat pendakwaan perbicaraan.

“Di bawah undang-undang, tertuduh boleh mendapatkan apa-apa bukti,” kata Nazlan ketika membuat keputusan pagi ini.

“Mahkamah masih terikat untuk mempertimbangkan bukti tidak kira bagaimana lemah sekalipun.”

Pasukan peguam bela Najib mahu memanggil pakar dari Australia, Steven J. Starch dan meminta mahkamah menerima hasil dapatannya sebagai bukti.

Najib yang juga ahli Parlimen Pekan sebelum ini mendakwa tandatangannya pada beberapa dokumen antaranya resolusi pemegang saham dan minit mesyuarat telah dipalsukan.

Nazlan berkata mahkamah akan menentukan sama ada ia akan diterima sebagai bukti atau sebaliknya pada akhir kes.

“Menjadi tanggungjawab mahkamah untuk memastikan hak perlembagaan tertuduh bagi mendapatkan perbicaraan yang adil,” kata Nazlan.

Hakim turut membenarkan pakar bagi pihak pembelaan itu memeriksa 13 dokumen terbabit, sebagaimana yang disenaraikan dalam permohonan mereka.

Pemeriksaan oleh saksi itu akan dilakukan di mahkamah pada minggu hadapan dengan kehadiran wakil kedua-dua pihak, sebelum perbicaraan bersambung pada 3 Februari.

Pemeriksaan itu perlu dilakukan dalam tempoh tidak lebih daripada dua hari. kata Nazlan.

Tambahnya, pihak pendakwaan dibenarkan untuk membuat sebarang penafian ke atas saksi selepas itu.

Peguam bela Farhan Shafee berkata, pihaknya akan mengesahkan dengan saksi jaduanya minggu hadapan dan akan memaklumkan mahkamah esok.

Turut hadir ke mahkamah hari ini Peguam Negara Tommy Thomas.

Semalam, Timbalan Pendakwaraya V. Sithambaram berhujah bahawa dakwaan berhubung tandatangan Najib dipalsukan adalah “pemikiran semula” dan jika dibenarkan, akan “memburukkan lagi” pendakwaan.

Peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah semalam berkata, mahkamah perlu mempertimbangkan semua pembelaan yang ada bagi memastikan anak guamnya mendapat perbicaraan yang adil.

Najib dibicarakan atas tuduhan berkaitan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang mana tertuduh didakwa menerima RM42 juta pada 2014 dan 2015. – 22 Januari, 2020.

Iklan
Iklan