Iklan

PKR pusat ke Pulau Pinang, redakan bantahan akar umbi

Amin Iskandar7 years ago5th Nov 2017Berita
PKR-DAP-EPA2017
Arahan Anwar Ibrahim supaya beberapa pemimpin peringkat pusat diberikan jawatan pentadbiran di Pulau Pinang dikatakan menimbulkan kemarahan pemimpin negeri dan akar umbi parti negeri itu. Tindakan Anwar itu dilaporkan supaya PKR di Pulau Pinang kelihatan setanding dengan DAP. – Gambar EPA, 5 November, 2017.
Iklan

PEMIMPIN PKR pusat akan bermesyuarat dengan pemimpin negeri Pulau Pinang minggu depan bagi menyelesaikan pergolakan terbaharu berhubung bantahan terhadap strategi Anwar Ibrahim membawa pemimpin dari luar untuk mengukuhkan kepimpinan negeri.

Tindakan ketua umum PKR itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan pimpinan negeri yang merasakan mereka tidak dihormati dan tidak diajak berbincang sebelum sesuatu keputusan dibuat, yang pernah juga mereka suarakan sebelum ini.

Kemarahan terbaharu ini ada kaitan dengan ura-ura Saifuddin Nasution Ismail bakal dinamakan sebagai yang Yang Dipertua Majlis Agama Pulau Pinang (MAINPP), menggantikan Salleh Man yang kontraknya akan berakhir 31 Disember ini.

“Insya Allah kita akan ke Pulau Pinang 11 November depan.

“Masalah tertangguh ini perlu diselesaikan segera kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir,” kata seorang pemimpin kanan PKR yang tidak mahu dinamakan.

Sumber itu berkata, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar akan dihantar bermesyuarat bersama majlis pimpinan negeri Pulau Pinang bagi memberikan penjelasan berhubung pendirian pusat dan mencari jalan penyelesaian.

Bagi menghadapi PRU14, Anwar menyusun strategi agar beberapa nama besar dihantar bertanding di Pulau Pinang bagi memastikan PKR setaraf dengan DAP di negeri itu.

Selain Saifuddin dan Nurul Izzah, antara yang disebut-sebut akan bertanding di Pulau Pinang ialah pendakwah Wan Ji Wan Hussain.

Saifuddin pada Januari lalu dilantik sebagai penasihat strategik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Nurul Izzah, yang kini ahli Parlimen Lembah Pantai pula dikatakan akan dicalonkan bagi mempertahankan kerusi lama ayahnya, Permatang Pauh pada PRU14 walaupun masih belum ada pengumuman rasmi parti lagi.

Wan Ji pula dilantik sebagai pegawai penerangan Pulau Pinang pada September untuk membantu kerajaan negeri menangkis serangan terutamanya dalam isu agama Islam.

Sebelum ini, sumber memberitahu The Malaysian Insight pelantikan Saifuddin sebagai Yang Di-Pertua MAINPP datangnya daripada Anwar sendiri, melalui sepucuk surat dari penjara.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh kerana kesalahan liwat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dikatakan akan bertanding di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada PRU14 nanti walaupun masih belum ada pengumuman rasmi dikeluarkan PKR.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2017.

PKR dan DAP adalah rakan kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) selain Amanah dan Bersatu. Pulau Pinang diterajui DAP sejak 2008 dan tiga pemimpin PKR menjawat jawatan majlis mesyuarat kerajaan negeri iaitu Mohd Rashid Hasnon, Abdul Malik Abul Kassim dan Dr Afif Bahardin.

Mengulas mengenai pergolakan di Pulau Pinang, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pelantikan Saifuddin sebagai yang dipertua MAINPP tidak sepatutnya dijadikan isu.

“Ahli-ahli PKR seharusnya berbangga kerana pelantikan Saifuddin merupakan satu pengiktirafan kepada pendekatan Islam sederhana yang dibawa PKR selama ini.

“Buat pertama kalinya, pemimpin dari PKR dilantik untuk mengetuai sebuah badan agama Islam seperti MAINPP. Kita seharusnya berbangga dan tidak menjadikannya isu,” kata ahli Parlimen Pandan itu kepada The Malaysian Insight.

Rafizi berkata, arahan Anwar untuk menghantar nama-nama besar ke Pulau Pinang merupakan strategi pilihan raya bagi memenangi undi Melayu kerana sebahagian besar daripada kaum majoriti itu mengamalkan pendekatan Islam yang sederhana.

“Dulu pemimpin akar umbi di Pulau Pinang bising mengatakan kerajaan negeri pimpinan DAP tidak beri PKR ruang yang banyak dalam kerajaan negeri.

“Sekarang apabila Saifuddin dilantik mereka bantah semata-mata kerana Saifuddin bukan orang mereka. Kita kena hentikan politik sempit seperti ini,” kata Rafizi.

Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin pula berkata setakat ini masih belum ada perbincangan antara peringkat pusat dan akar umbi di Pulau Pinang.

“Tetapi saya tahu pimpinan sentiasa bersedia untuk berdialog,” kata ahli Parlimen Bayan Baru itu kepada The Malaysian Insight.

Seorang pemimpin akar umbi PKR Pulau Pinang yang tidak mahu dinamakan berkata, mereka akan mengadakan perbincangan sesama sendiri terlebih dahulu dalam jangka masa terdekat.

“Setakat ini tiada siapa hubungi kami. Kalau PKR pusat hanya berbincang dengan pimpinan peringkat negeri sahaja, masalah tak akan selesai.

“Mereka harus luangkan masa bertemu dengan akar umbi. Dengar suara hati kami yang buat kerja di bawah,” katanya. – 5 November, 2017.

Iklan
Iklan