Kepenggunaan dan judi, Putrajaya tak tahu hujung pangkal
Iklan
TAK perlu ilmu tinggi untuk membezakan kepenggunaan dan perjudian. Juga tak perlu untuk jadi orang bijak untuk tahu bahawa menghapuskan jenayah terancang dan sindiket perjudian adalah tugas polis.
Tetapi nampaknya berlaku kekeliruan di Putrajaya semalam bila mana Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi meminta bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk menghapuskan aktiviti perjudian di negara ini.
“Kementerian bersama pihak polis melawan aktiviti perjudian. Ini tanggungjawab mereka, tetapi kami berharap PPIM akan bantu polis,” kata Zahid yang juga merupakan menteri dalam negeri.
Biar kita jelas apakah sebenarnya kumpulan pengguna dan tanggungjawab pihak berkuasa seperti polis. Dan boleh tepuk dada tanya jika negara perlukan lebih ramai mata-mata ditugaskan untuk menghapuskan perjudian haram.
Malaysia sekarang sudah ada polis serta pasukan keselamatan sukarela seperti Rela dan pegawai penguatkuasa kerajaan tempatan yang boleh jadi mata dan telinga kerajaan.
Masih tidak cukupkah semua itu? Adakah mereka tidak cekap, tidak berkesan atau sebenarnya tidak boleh dipercayai?
Masihkah Putrajaya memerlukan sebuah kumpulan berusia 20 tahun dengan empat juta ahli - yang kebanyakannya doktor, pensyarah universiti, ilmuwan agama dan mereka yang prihatin tentang isu kepenggunaan Islam.
Jika itulah sebenarnya tugas PPIM sekarang, apakah alasan utama kewujudannya? Kumpulan pengguna Islam itu berkata matlamat mereka adalah untuk menjaga, mempertahankan hak dan mengembalikan maruah pengguna Islam menerusi pelaksanaan aktiviti strategik dan proaktif.
Adakah terlibat dalam memantau aktiviti perjudian juga sebahagiandaripada tugas itu? Dan mengapa hanya kumpulan pengguna Islam? Tidakkah Putrajaya memberikan terlalu banyak ruang hanya kepada satu kumpulan sahaja untuk melaksanakan perkara ini?
Ditambah lagi dengan RM500,000 yang Zahid berikan kepada PPIM untuk aktiviti mereka. Adakah kumpulan lain juga dapat jumlah wang yang sama untuk bantu polis?
Lagipun, Zahid berkata polis sudah laksanakan 7,900 operasi memerangi aktiviti perjudian sepanjang tahun ini. Walaupun jumlah rampasannya kecil. Mungkin kerana, sekarang kumpulan jenayah ini lebih banyak guna internet untuk buat aktiviti haram mereka berbanding mengambil wang pertaruhan secara bersemuka.
Mungkin Zahid dan Putrajaya lebih patut merancang sesuatu yang lebih menyeluruh untuk hapuskan perjudian haram berbanding bergantung kepada kumpulan pengguna jadi mata-mata mereka.
Tindakan ini sebenarnya menggalakkan budaya ambil tindakan sendiri tanpa autoriti dan Malaysia sudah menyaksikan apa yang berlaku bila mana kumpulan ini mempertahankan hak mereka yang gagal melakukan bayaran pinjaman ikut jadual malah bersatu pula membayar denda seorang wanita doktor gigi palsu yang sudah didapati bersalah.
Malaysia perlukan kerajaan yang tahu apa mereka buat, bukan sekumpulan manusia tanpa autoriti dan kemampuan. Negara ini tak perlukan kumpulan penguatkuasa berasaskan agama.
Perjudian haram adalah jenayah, rangkaiannya besar dengan sejumlah sindiket masih jadi dalang. Ia tiada agama, kepercayaan mereka adalah wang.
Putrajaya sepatutnya menyedari perkara itu dan melantik mereka yang cekap untuk menghapuskannya, bukan kumpulan pengguna yang minat mereka adalah keadilan harga dan keselamatan produk untuk orang Islam. – 5 November, 2017.