Bicara SRC International: Najib dibenar panggil pakar tulisan tangan
Iklan
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada minggu lepas membenarkan Najib Razak memanggil pakar tulisan tangan untuk mengesahkan ketulenan tandatangan pada dokumen berkaitan SRC International yang diserah sebagai bahan bukti.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan membenarkan permohonan Najib memanggil pakar dari Australia, Dr Steven J. Strach, untuk memeriksa 13 dokumen yang dipertikaikan.
Nazlan berkata mahkamah akan memutuskan sama ada penemuan Steven boleh diterima atau tidak sebagai bukti pada akhir kes itu kerana “masih terikat untuk mempertimbangkan bukti tidak kira betapa lemah pun ia”.
Pasukan pembelaan sebelum ini berhujah yang ketulenan semua dokumen itu belum ditentukan secara tepat.
Pendakwa raya membalas hujah dengan berkata permohonan Najib perlu ditolak kerana tuduhan pemalsuan hanya dibuat selepas difikirkan semula (afterthought).
Najib berdepan tiga tuduhan pecah amanah jenayah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa.
Pertuduhannya dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, dengan beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.
Hujahan pihak pembelaan berkenaan pemalsuan itu timbul daripada keterangan saksi termasuk bekas pengerusi SRC International, Ismee Ismail dan bekas pengarah Suboh Md Yassin, yang mempercayai tanda tangan mereka dipalsukan.
Mahkamah menetapkan 10 Februari untuk pemeriksaan dokumen. – 26 Januari, 2020.
Berita penuh di sini