Amaran kuning sudah dimaklum pada 1 November, kata timbalan menteri
Iklan
KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi menafikan lewat mengeluarkan amaran kuning susulan banjir yang melanda Pulau Pinang dan Kedah kelmarin.
Menterinya, Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata ia dikeluarkan pada 1 November melalui siaran televisyen dan dikemas kini pada 4 November, jam 6 petang dengan amaran situasi hujan akan mencapai tahap maksismum dan berterusan.
“Saya ingat YB Cheras ni, dia tak menonton televisyen. Dia tidak baca (berita) dan dia tahu banjir datang (banjir berlaku) pun dia hanya tahu apabila banjir.
“YB, saya beritahu, kita telah pun memaklumkan dalam siaran televisyen, amaran kuning pada 1 November. Kita tak boleh cakap (maklumkan) tiga tahun sebelum berlaku,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai yang mempertikaikan kecepatan kementerian tersebut dalam memberi amaran lebih awal.
Ketika menjawab soalan tersebut, terdapat sedikit pertengkaran berlaku apabila Tan tidak berpuas hati dengan jawapan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu.
“Itu namanya ramalan. Kita sudah belajar (bila) angin datang dari sini, sana. Lepas itu kita kata hujan akan berlaku.
“YB, kalau tidak tahu boleh belajar daripada saya. Saya boleh terangkan dengan baik. Kita mempunyai alat yang bagus (untuk meramal cuaca),” katanya.
Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air di antara 0.2 hingga 0.5 meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak pukul 2 petang Khamis yang turut menumbangkan puluhan pokok.
Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini meragut tujuh nyawa. – 6 November 2017.