Mengapa Putrajaya tak sekat Malaysia Today, soal bekas jeneral
Iklan
SEORANG bekas jeneral mempersoalkan mengapa Putrajaya tidak menyekat laman web Malaysia Today, walaupun seringkali menyiarkan rencana berunsur “penipuan dan fitnah”.
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig Jen Mohd Arshad Raji berkata, tindakan ini menghairankan kerana Putrajaya menyekat beberapa laman web lain kerana alasan sama.
“Apa yang menghairankan saya ialah bagaimana Malaysia Today yang kerap menulis rencana berunsur fitnah, penipuan, hasutan dan kebencian tidak disekat Kementerian Komunikasi dan Multimedia?
“Laman seperti Malaysia Chronicle, blog Outsyedthebox, Sarawak Report dan beberapa blog dan media alternatif lain disekat, mengapa tidak Malaysia Today?” soal Arshad pada sidang media di Subang Jaya, Selangor hari ini.
Tahun lalu, kerajaan turut menyekat portal The Malaysian Insider kerana didakwa melanggar undang-undang negara.
Arshad berkata, kebanyakan artikel tulisan penggendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamarudin penuh dengan penipuan, hasutan dan kebencian.
“Sekarang pihak polis sudah dihantar ke London untuk mencatatkan keterangan dari Raja Petra mengenai artikel beliau yang mengatakan bahawa Peguam Negara Mohamed Apandi Ali melakukan rasuah dengan menerima sejumlah wang.
“Bukankah Raja Petra mempunyai kes tertunggak di negara ini dan lari keluar negara mencari perlindungan di London?
“Kami mendesak agar blog Malaysia Today disekat oleh Kementerian Kommunikasi dan Multimedia dengan serta merta,” katanya.
Minggu lalu Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mengesahkan sudah menghantar satu pasukan untuk mengambil keterangan Raja Petra di United Kingdom (UK) awal minggu lalu berkaitan dua laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh Apandi.
Satu pasukan terdiri daripada tiga pegawai Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur merekodkan keterangannya pada pertemuan selama lima jam awal minggu lalu.
Polis terpaksa pergi ke UK untuk mengambil keterangan Raja Petra kerana penulis blog pro-Umno itu tinggal dalam buangan di sana.
Dia melarikan diri dari Malaysia selepas didakwa dengan dakwaan hasutan dan fitnah pada 2006 susulan siri rencana yang diterbitkannya mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan warga Monglia, Altantuya Shaariibuu.
Laporan polis Apandi yang diklasifikasikan sebagai jenayah fitnah dibuat ke atas Raja Petra yang menuduh peguam negara itu terlibat dalam korupsi menerusi dua rencananya- “Strong rumours surrounding the AG: part 1 and part 2” – yang disiarkan dalam blognya, Malaysia Today.
Antara dakwaan Raja Petra terhadap Apandi adalah peguam negara itu meminta RM4 juta daripada seorang ahli perniagaan Cina yang dikenal pasti sebagai “rakan niaga” Sultan Johor dalam sebuah kes yang dimenanginya.
Raja Petra juga menulis tentang pertemuan yang dikatakan berlaku pada 2015 antara hakim kanan- iaitu bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria, Ketua Hakim Negara Md Raud Shariff dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinuddin- dengan seorang ahli politik kanan membincangkan plot menjatuhkan kerajaan.
Apandi menafikan dakwaan korupsi Raja Petra dan bagaimana kononya dia memperolehi jawatan peguam negara dalam rencana itu menambah yang akan menyaman Raja Petra “sampai ke akhirat”.
Apandi membuat laporan polis di Kuantan, Pahang dan Jabatan Peguam Negara pula membuat laporan polis kedua di Putrajaya bulan lepas.
Pejabat Apandi juga membuat laporan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap blognya, Malaysia Today. – 6 November, 2017.