SPRM bongkar sindiket nelayan asing rasuah APMM
Iklan
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket pencerobohan nelayan asing ke perairan Malaysia dengan tertangkapnya 22 individu termasuk tujuh warganegara Vietnam, kata ketua agensi anti rasuah itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata operasi itu berjaya merampas wang tunai berjumlah RM1.9 juta dipercayai rasuah dibayar kepada penguatkuasa bagi mengelak tindakan atau melepaskan bot-bot nelayan asing yang ditahan.
“Kami juga membekukan 44 akaun bank melibatkan simpanan wang berjumlah RM2 juta,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Putrajaya.
Semua individu itu ditahan hasil siasatan bersama agensi anti rasuah itu dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selama 11 bulan dalam tindakan diberi nama Operasi Armada.
Antara yang ditahan ialah seorang wanita Vietnam bergelar ‘Datuk’, dipercayai ketua salah sebuah kumpulan sindiket itu, yang merasuah pegawai agensi kerajaan untuk melepaskan bot nelayan yang ditahan oleh APMM.
“Hasil siasatan awal mendapati bayaran itu melibatkan antara RM50,000 hingga ke RM100,000 dibayar oleh pengusaha bot nelayan dari Vietnam menerusi wanita Vietnam bergelar ‘Datuk’ kepada nelayan dan penguatkuasa Maritim Malaysia,” katanya.
Jelas beliau, nelayan Vietnam itu menceroboh dan menangkap hasil laut negara di perairan Pahang, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Kesemua mereka ditangkap semalam dalam operasi besar-besaran di Pahang, Labuan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Lima pegawai APMM termasuk seorang Timbalan Pengarah Logistik di Sabah dan seorang pegawai Jabatan Perikanan di Pahang yang terlibat dalam manipulasi dokumen bot untuk kegunaan nelayan Vietnam turut ditahan.
Sembilan yang ditahan adalah warga tempatan yang berperanan sebagai agen.
“Kita memandang serius juga nelayan tempatan yang menyalahgunakan permit dengan jalan singkat sama ada menyewa dengan bayaran tertentu membolehkan nelayan bot asing beroperasi di negara ini dan mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan,” kata beliau.
Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk proses reman. – 6 November, 2017.