Iklan

Veteran tentera gesa SPR siasat pembinaan empat kem tentera baru

Amin Iskandar7 years ago6th Nov 2017Berita
Patriot 20171106 tmihasnoor 004
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig Jen Mohd Arshad Raji berkata, mengapa sudah terdapat pengundi didaftarkan sedangkan kem-kem ini masih lagi belum siap. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 November, 2017.
Iklan

SURUHAJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu menyiasat mengenai rancangan Putrajaya membina empat kem tentera darat yang baru di Perak, Pahang dan Johor, kata seorang bekas jeneral.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig Jen Mohd Arshad Raji berkata, mengapa sudah terdapat pengundi didaftarkan sedangkan kem-kem ini masih lagi belum siap.

“Isunya ialah kem masih dibina mengapa pula terdapat pengundi dipindahkan ke kem yang belum siap itu?

“Saya tak fikir kem itu boleh siap pada akhir tahun. Ini adalah sesuatu yang tidak betul. SPR perlu melihat kepada perkara ini,” kata Arshad pada satu sidang media di Subang Jaya, Selangor hari ini.

Minggu lalu Bersih turut mendesak polis dan peguam negara  menyiasat pendaftaran pengundi yang terdiri daripada 1,079 anggota tentera dan pasangan di sebuah kem tentera yang masih belum siap di Johor.

Bersih berkata perkara itu perlu disiasat di bawah Seksyen 3(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana kesalahan penipuan pendaftar pemilih. 

Pada 31 Oktober, DAP mendapati yang 1,051 pengundi didaftarkan di sebuah kem tentera yang masih belum siap di Segamat, Johor dan 28 lagi di Kem Tentera Rejimen 501, Segamat.

Arshad berkata, isu ini dibangkitkan kerana kemungkinan berlakunya pemindahan pengundi tentera ke kem-kem baharu ini. 

Katanya, beliau mempunyai maklumat tentang kem-kem yang baharu bakal dibina di Bera, Pahang, di Paloh, Johor dan di Hutan Melintang, Perak tetapi tidak mahu mendedahkannya kepada media.

Arshad turut mempersoalkan, mengapa pula kem-kem tentera ini dibina di kawasan-kawasan Parlimen pemimpin kanan Umno.

“Dan terdapat tiga kem lagi seperti kem Batu Melintang, Paloh dan Bera. Batu Melintang di Bagan Datok. Bera tempat Ismail Sabri Yaacob.

“Dan Paloh pula tempat Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein. You tengok itu je you dah tahu ni. SPR perlu lakukan sesuatu tentang ini,” katanya.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein minggu lalu menyerahkan persoalan tersebut dijawab ketua tentera.

“Mereka tidak akan memindahkan tentera jika tidak cukup kemudahan. Tapi kalau saya jawab ia akan jadi isu politik.

“Jadi saya serahkan pada panglima angkatan tentera sebagai pengguna kem tersebut.” – 6 November, 2017.

Iklan
Iklan