Iklan

Tak adil tuduh Anwar liwat anak buah Husni, kata Wan Azizah

Yasmin Ramlan7 years ago6th Nov 2017Berita
Iklan

PRESIDEN PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail merasakan tidak adil bagi seorang menteri menuduh suaminya, Anwar Ibrahim meliwat anak buah beliau.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu merujuk kepada kenyataan bekas Menteri Kewangan II Ahmad Husni Hanadzlah pada Rabu lalu ketika berhujah di Dewan Rakyat yang mengkritik bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan memberitahu punca beliau tidak lagi mengikuti perjuangan Anwar.

Menyentuh mengenai Anwar, Ahli Parlimen Tambun itu berkata beliau meninggalkan perjuangan bekas timbalan perdana menteri itu selepas mendapati Anwar terlibat dengan kes liwat dengan anak buahnya (anak buah Husni).

“Anda menuduh seseorang dengan menamakannya. Teruskanlah. Dan dalam Islam ia adalah qazaf. Tapi anda tak boleh tuduh seseorang itu tanpa bukti kerana ia melibatkan reputasi individu itu dan harga diri.

“Dan ia juga berkaitan dengan keluarga saya. Kami telah melaluinya (tuduhan) selama 20 tahun. Saya rasa tak adil bagi seorang menteri pangkat seperti itu mengeluarkan kata-kata sedemikian,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Dr Wan Azizah menambah, beliau seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata Husni itu kerana beliau merupakan seorang yang sering menyentuh perihal agama tetapi mengeluarkan tuduhan sedemikian.

“Seperti tidak percaya. Seseorang yang sering bercakap mengenai hal agama dan (pada masa sama) keluar kenyataan seperti itu. Sangat memalukan,” katanya.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Terdahulu pemimpin PKR Johari Abdul mencabar Husni mengulangi dakwaan beliau di luar Dewan Rakyat mengenai anak buahnya diliwat Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, sekiranya benar anak buah Husni diliwat, anak buah Husni itu perlu membuat laporan polis dan bukan hanya berdiam diri.

“Saya cabar dia, Tambun (Husni) kamu buat statement di luar Dewan Rakyat bahawa anak saudara bernama Hairani Nafiz diliwat Anwar Ibrahim.

“Saya juga mengajak kawan-kawan kita buat laporan qazaf kalau dia tak boleh buktikan yang Anwar liwat Hairani. Kita akan ambil tindakan terhadap dia,” katanya

Rabu lalu, ketika berhujah di dalam Dewan Rakyat, Husni mengkritik Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin dan memberitahu punca beliau tidak lagi mengikuti perjuangan Anwar.

“Anda kenal siapa Dr Mahathir? Saya tahu. Saya Menteri Kewangan II. Saya tahu apa yang berlaku masa beli Pos Malaysia, di Perwaja. Saya tahu. Anda tahu siapa Muhyiddin. Anda tidak tahu, tetapi saya tahu. Anda tahu siapa Anwar Ibrahim? Saya orang Anwar Ibrahim, saya tinggalkan dia.

“Selepas dia berhenti jadi timbalan perdana menteri, saya bantu dia, pergi ke Bukit Damansara. Bila dia terlibat dengan liwat. Dia terlibat dengan anak buah saya. Kami semua menangis, saya pergi ke Jordan,” kata Husni. – 6 November, 2017.

Iklan
Iklan