Iklan

Sekatan pengunjung China buat pasar kraftangan Kota Kinabalu suram

Irwan Majid5 years ago6th Feb 2020Berita
Peniaga suram2
Rata-rata peniaga di Pasar Filipina di Kota Kinabalu mengeluh kerana perniagaan mereka merosot lebih 50% sejak penularan virus Wuhan dan sekatan yang dibuat kerajaan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 6 Februari, 2020.
Iklan

RATA-RATA pengusaha bimbang dengan keputusan kerajaan negeri Sabah menyekat penerbangan dari negara China kerana majoriti pelanggan mereka adalah pelancong luar.

Peniaga yang ditemui di Pasar Filipina di Kota Kinabalu bimbang sekatan untuk menghalang jangkitan virus Wuhan dari China itu menjejaskan pendapatan mereka.

Seorang peniaga kraftangan Nik Hanifar Muzawir, 45, memberitahu The Malaysian Insight, perniagaannya merosot lebih 50% sejak penularan virus Wuhan dan sekatan yang dibuat kerajaan.

“Jualan sekarang agak merosot sikit, sebelum ini kalau ramai pelanggan tapi sebab penyakit (Koronavirus) ini jualan merosot.

“Biasanya kalau satu hari boleh dapatlah dalam RM500 atau RM300 sekarang ini kalau RM100 pun susah,” katanya.

Senasib dengannya seorang lagi peniaga kraftangan Marina Jusoh, 45 yang berharap keadaan akan pulih seperti sedia kala.

“Kita sekarang kena pastikan kerajaan dapat tangani perkara ini. Pendapatan saya memang daripada pelancong terutamanya China,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insight di Pasar Filipina juga mendapati kawasan peniaga kraftangan dan cenderahati itu agak sunyi.

Sabah menggantung kesemua penerbangan dari China sejak seminggu lalu, walau pengunjung dari negara itu merupakan antara penyumbang utama hasil pelancongan Sabah.

Pada tahun lalu, seramai lebih 500,000 pelancong China mengunjungi Sabah. Sewaktu mengumumkan penggantungan sementara itu dibuat untuk membendung risiko virus Wuhan.

Suasana Pasar Filipina di Kota Kinabalu lengang selepas sekatan terhadap pelancong berikutan penularan wabak koronavirus.– Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 6 Februari, 2020.

Langkah itu disokong oleh peniaga ini seperti seorang peniaga buah, Razman Jabar, 31, yang berharap sekatan itu akan berakhir kelak.

“Kerajaan buat untuk keselamatan rakyat. Saya harap semua kembali macam biasa. Kita pun bimbang pendapatan terjejas,” katanya.

Ada juga yang berpandangan, sekatan pelancong China tidak menjejaskan hasil perniagaan, seperti Serimah Jail, 38, yang menjual pakaian.

Katanya, barangan tersebut tetap dibeli oleh pelancong negara lain dan warga tempatan dan beliau tidak bergantung sepenuhnya kepada pelancong China.

“Serba sedikit (terjejas) tapi tidaklah besar sangatlah. Pembeli saya jarang daripada (pelancong) China. Macam saya jual baju-baju kebanyakan yang beli dari Korea.

“Kalau (pelancong) China barangan macam ini mereka pun ada kedatangan mereka ke sini banyak yang jalan-jalan sahaja,” katanya.

Kawasan pasar itu tetap menjadi tumpuan pengunjung tempatan untuk membeli barang keperluan harian seperti sayuran dan buah-buahan selain barang kering seperti ikan masin.

Seramai 426 kematian dicatatkan setakat ini di China akibat virus Wuhan atau novel coronavirus (2019-nCoV).

Seramai sembilan orang warga China yang berada di Malaysia dikesan positif virus itu.

Ia termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang disahkan pulih dari jangkitan dan dibenar pulang ke negara asal. – 6 Februari, 2020.

Iklan
Iklan