Ambil kira kelulusan projek pembangunan untuk elak banjir, kata Noh Omar
Iklan
NOH Omar mengarahkan semua negeri mengambil kira kelulusan projek-projek pembangunan supaya masalah-masalah yang boleh menimbulkan banjir dapat dielakkan.
Menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, setiap kerajaan negeri perlu meneliti projek-projek pembangunan yang melibatkan kawasan hijau, lereng bukit dan juga pengurusan longkang.
“Memang benar, kalau masalah banjir ini, kalau seperti yang kita sedia maklum melanda pantai timur. Sebab itu persiapan kita lebih tertumpu ke pantai timur. Lebih-lebih lagi bila nak musim tengkujuh.
“Tapi di Pulau Pinang seperti mana yang kita sedia maklum, ia memang perkara luar dugaan dan taklimat ada diberi kepada saya semalam, ada juga empangan pecah yang menyebabkan air daripada luar masuk ke dalam Pulau Pinang. Oleh kerana itu kita minta semua negeri apabila beri kelulusan pembangunan, nak kena pastikan bahawa kawasan hijau, lereng bukit dan juga pengurusan longkang mesti diambil tindakan segera.
“Kalau perlu adakan batasan ataupun empangan-empangan tertentu yang dikenal pasti boleh menyebabkan banjir, perkara ini pun harus diambil tindakan segera sebelum kejadian banjir melanda,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali mengenai peranan kerajaan untuk menangani banjir disebabkan perbuatan manusia seperti penebangan pokok, penarahan bukit, membotakkan bukit mungkin menyebabkan air tidak dapat disimpan.
Tanah runtuh di kira-kira 30 lokasi sepanjang trek jip dari Taman Botani Pulau Pinang ke Bukit Bendera juga menutup jalan masuk kepada pasukan penyelamat.
Ribut yang melanda Pulau Pinang, menyebabkan angin kencang dan banjir kilat, menjejaskan kira-kira 80% negeri itu.
Semalam, lebih 7,000 orang dipindahkan. Bagaimanapun, bilangan itu menurun kepada lebih 5,000 pada pagi ini. – 7 November, 2017.