Syarikat pernah terlibat projek terbengkalai akan disenaraihitam, kata menteri
Iklan
KEMENTERIAN Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan syarikat yang pernah terlibat dengan projek perumahan terbengkalai akan disenaraihitamkan.
Menurut menterinya Noh Omar, tindakan tersebut akan diambil apabila ahli lembaga pengarah syarikat pemaju terbabit memohon Permit Iklan dan Lesen Pemaju (APDL) bagi projek seterusnya.
“Justeru, syarikat ini (syarikat pemaju perumahan) akan disenaraihitamkan termasuk ahli lembaga pengarah apabila memohon APDL bagi projek seterusnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Mazian Nik Mohamad yang bertanyakan sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut dan tindakan yang dapat dilakukan untuk mencegahnya.
Tambahnya, sebagai langkah berjaga-jaga kerajaan juga menetapkan pemaju perumahan membayar 3% dari kos pemaju supaya sekiranya terbengkalai, kos tersebut akan digunakan kerajaan untuk menyiapkan projek terbabit.
“Dalam masa yang sama kita telah pun meminda undang-undang (di mana) kalau dulu pemaju meletakkan RM200,000 sebagai deposit daripada kementerian tapi bila kita melihat banyak projek terbengkalai, kita mewajibkan pemaju 3% dari kos pemaju ini jadi kalau sekiranya projek terbengkalai, maka pihak kementerian kita dah ada deposit untuk pulihkannya,” katanya.
Pada masa sama, Noh berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan untuk memasukkan insurans dalam perjanjian jual beli perumahan bagi melindungi pembeli.
Namun, sekiranya ia dilakukan, kos rumah tersebut akan semakin bertambah.
Menurut Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, sejak Januari 2009 sehingga 11 Oktober 2017, sebanyak 253 projek perumahan swasta disahkan terbengkalai di seluruh Semenanjung Malaysia di bawah Akta Kemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Akta 118) meliputi 64,290 unit rumah.
Manakala daripada 190 projek yang telah disiapkan dari tahun 2009 sehingga 11 Oktober 2017 merupakan 32 projek dipulihkan menggunakan dana kerajaan dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM219.793 juta.
Bagaimanapun, projek perumahan swasta terbengkalai yang menggunakan dana kerajaan hanya melibatkan kategori rumah kos rendah dan kos sederhana. – 7 November, 2017.