Iklan

Projek loji air, anak buah Musa Aman yang punya, dakwa Shafie Apdal

Yasmin RamlanMelati A. Jalil7 years ago7th Nov 2017Berita
Shafie apdal 20171107 tmihasnoor 003
Petugas media merakam gambar Presiden Warisan Shafie Apdal yang sedang berucap membahaskan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, hari ini. Shafie dalam ucapannya mendedahkan anak saudara Ketua Menteri Sabah mempunyai kaitan dengan projek yang disiasat SPRM. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 November, 2017.
Iklan

PRESIDEN Parti Warisan Sabah Shafie Apdal hari ini mendedahkan anak saudara kepada Ketua Menteri Sabah Musa Aman ada kaitan dengan projek loji rawatan air di Sungai Intan, Semporna yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bercakap di Dewan Rakyat, Shafie yang juga ahli Parlimen Semporna berkata beliau ditohmah kononnya syarikat proksinya mendapat projek loji rawatan air itu sedangkan sebenarnya kontrak projek itu diberikan kepada syarikat perundingan “anak buah Musa”.

Bagaimanapun, Shafie menolak bahawa projek tersebut adalah “gajah putih” kerana ia tidak gagal.

“Tohmahan kononnya syarikat proksi Shafie Apdal 20 peratus. Tender dibuka yang dapat projek anak buah Musa Aman. Ini syarikatnya.

“Konsultan projek ini adalah Shahelmey Yahya, setiausaha perhubungan Umno Sabah sekarang dan dia juga konsultan yang uruskan Pan Borneo.

“Kalau projek ini (loji rawatan air) gagal, kenapa (berikan kontrak untuk projek Pan Borneo)?” kata Shafie ketika berucap membahaskan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Selepas dibebaskan daripada tahanan reman selama lapan hari pada 27 Oktober lalu, beliau memberi bayangan akan mendedahkan sesuatu berkenaan Musa tetapi tidak mahu mengulas lanjut kepada wartawan pada waktu itu.

SPRM menahan Shafie dan 13 individu yang berkait dengannya dalam siasatan terhadap 350 projek pembangunan luar bandar Sabah di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bernilai RM 1.5 bilion antara 2009 hingga 2015, ketika Shafie jadi menterinya.

Antara projek yang disiasat termasuk loji rawatan air Sungai Intan yang bernilai RM45 juta itu yang dikatakan tidak dapat berfungsi kerana sungai cetek menyebabkan ia tidak mendapat sumber air mencukupi.

Terdapat banyak aduan yang dibuat penduduk berikutan ia masih belum beroperasi walaupun sudah siap sepenuhnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad turut mengadakan lawatan di loji itu dalam lawatannya ke Sabah pada 12 Oktober lalu.

Pendedahan bekas naib presiden Umno itu mencetuskan kekecohan di kalangan wakil rakyat di dalam Dewan Rakyat kerana beliau sendiri mempertahankan projek tersebut yang kini dalam fasa kedua.

“Ia akan atasi masalah. Loji akan berfungsi,” katanya.

Sehari selepas dibebaskan, Shafie turut mempertahankan projek tersebut selain buat kali pertama mendedahkan tender terbuka itu dimenangi oleh proksi Musa.

Malah beliau turut mendakwa Musa “tidak kaya sebelum menjadi pemimpin Umno.”

“Projek seperti loji air di Sungai Intan. Ia dinaik taraf supaya saluran bekalan air kepada Semporna makin baik. Kita buat tender terbuka. Bila buat tender terbuka yang dapat anak buah Musa Aman. Bukan anak buah saya.

“Apa kamu ingat saya minta duit dari dia? Saya tidak minta duit dari kontraktor dia (Musa),” katanya ketika bertemu ribuan penyokongnya di Semporna pada 28 Oktober.

Shafie yang digantung keahliannya daripada Umno pada Julai 2016, mengumumkan keluar daripada parti itu sebelum menjadi presiden Warisan pada Oktober tahun lalu. – 7 November, 2017.

Iklan
Iklan