Hukum karma menanti jika buat benda tak baik
Iklan
AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini memberi amaran hukum karma akan tiba jika “perkara tidak baik” dilakukan seperti penebangan dan penganjuran pesta maksiat yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
Ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin memberi contoh seperti banjir yang melanda Pulau Pinang yang dipercayai berlaku akibat penebangan hutan di kawasan bukit di negeri itu.
“Kita kena ingat, banjir ini kerana penebangan hutan di kawasan bukit di Pulau Pinang yang tidak betul. Pengurusan pembangunan yang tidak betul.
“Dan jangan lupa, kadang-kadang bila kita lakukan perkara tidak baik, di antaranya kita melaga-lagakan sesama agama, kita hina agama menganjur pesta jauh tersasar daripada agama orang lain dan bangkitkan kemarahan orang lain.
“Maka sudah tentulah hukum karmanya akan tiba dan rakyatnya menderita,” katanya ketika perbahasan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini.
Karma merupakan kepercayaan ajaran Hindu iaitu pembalasan atas perbuatan dilakukan seseorang sama ada ia perbuatan baik atau buruk.
Walaupun Zahidi tidak menyebut negeri di bawah pimpinan DAP itu, namun ia dipercayai merujuk kepada Pulau Pinang.
Pada Oktober, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata golongan ekstremis tidak akan dapat mengharamkan “Oktoberfest” iaitu pesta arak di Pulau Pinang.
Lim berkata walaupun wujud “suara tidak senang” yang menentang sambutan itu di negeri lain, Pulau Pinang tidak akan mengharamkan Oktoberfest atau mengubah namanya.
Isu itu tercetus pada September selepas pesta arak di Malaysia, “Better Beer Festival” menjadi perhatian susulan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) mengharamkan penganjurannya. – 7 November, 2017.