Gelombang kedua cuaca buruk akan berlaku, kata menteri
Iklan
GELOMBANG kedua perubahan cuaca dijangka akan berlaku sehingga tamat pertukaran monsun, kata menteri.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya sebelum ini meramalkan pertukaran monsun akan berakhir pada awal bulan ini, tetapi sebaliknya ia dijangka berakhir sehingga penghujung bulan ini disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Second wave (gelombang kedua) memang akan berlaku sehingga tamat musim pertukaran monsun ini. Kita jangka pertukaran monsun hingga November ini habis (pada) minggu pertama November.
“Tapi sekarang dah 8 haribulan. (Jadi) saya jangka sehingga penghujung November baru pertukaran itu habis,” katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di Sentul, Kuala Lumpur hari ini.
Setakat ini, Kedah dan Pulau Pinang terjejas ekoran banjir buruk yang melanda negeri-negeri itu.
Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.
“Keadaan cuaca kita memang begitu payah nak diteka sekarang,” katanya.
Pada Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika lawatannya di Pulau Pinang mengarahkan semua pihak bersedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan gelombang kedua dan ketiga perubahan cuaca pada bulan ini hingga Februari depan.
Keadaan banjir di Pulau Pinang beransur pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan semakin berkurangan pagi ini.
Sehingga 6 pagi, sejumlah 3,482 orang daripada 914 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan berbanding 5,729 orang daripada 1,445 keluarga malam tadi. – 8 November, 2017.