Iklan

Kolokium khas cari penyelesaian masalah banjir diadakan tahun depan

Yasmin Ramlan7 years ago8th Nov 2017Berita
Iklan

PUTRAJAYA akan mengadakan kolokium khas mengenai banjir bagi membantu negara mencari jalan penyelesaian untuk mengatasinya.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wan Junaidi Wan Tuanku Jaafar, kolokium yang dijadualkan pada Januari tahun depan itu akan dihadiri ramai pakar dari univerisiti tempatan dan luar negara.

“Satu kolokium akan diadakan pada Januari. Saya akan panggil pakar dari luar negara untuk memikirkan (banjir di) Malaysia keseluruhannya. Tetapi tidak ada satu tempat yang one formula fit all (satu formula boleh diguna pakai untuk semua negeri),” katanya.

Ini memandangkan, setiap negeri mempunyai kaedah tersendiri untuk mengatasi banjir.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri lawatan kerja rasmi di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di Sentul, Kuala Lumpur.

“Jadi, kita akan juga melihat macam mana nak mengatasi pengakisan yang berlaku di kawasan pantai,” kata Wan Junaidi.

Baru-baru ini, hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Bagaimanapun, keadaan banjir di Pulau Pinang beransur pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan semakin berkurangan pagi ini.

Sehingga 6 pagi, sejumlah 3,482 orang daripada 914 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan berbanding 5,729 orang daripada 1,445 keluarga malam tadi. –  8 November, 2017.
 

Iklan
Iklan