Iklan

Sebar berita palsu tentang kerajaan, Najib selar pengguna media sosial

Amin Iskandar7 years ago8th Nov 2017Berita
Najib razak tmikamal 01
"Saya hargai maklum balas kerana kerajaan ini mendengar pandangan rakyat dan kehidupan dan keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan. Tetapi, terdapat juga yang menyalahgunakan media sosial dan blog untuk menyebarkan penipuan dan propaganda palsu," kata Perdana Menteri Najib Razak hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 November, 2017.
Iklan

KERAJAAN menghargai pandangan rakyat termasuk yang disalurkan menerusi media sosial tetapi bukanlah pandangan mereka yang menyebarkan berita palsu dan propaganda mengenai pentadbiran, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Najib berkata, jika semakan fakta dilakukan, ternyata dakwaan seperti Malaysia menuju negara gagal, bankrap dan tidak demokratik tidak benar sama sekali.

“Saya hargai maklum balas kerana kerajaan ini mendengar pandangan rakyat dan kehidupan dan keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan.

“Tetapi, terdapat juga yang menyalahgunakan media sosial dan blog untuk menyebarkan penipuan dan propaganda palsu.

“Seperti Malaysia menuju bankrap, sebuah negara gagal atau tidak lagi demokratik,” katanya semasa berucap pada program Malaysia Social Media Week 2017 di Kuala Lumpur hari ini.

Najib berkata, beliau tiada masalah jika terdapat pihak yang tidak bersetuju dengannya, tetapi jangan menafikan kejayaan negara di bawah pentadbirannya.

“Jangan nafikan fakta ekonomi berkembang pada 5.7% pada tempoh separuh pertama tahun ini.

“Jangan nafikan fakta Malaysia dihormati dan dialu-alukan di seluruh dunia dari Washington DC dan Beijing ke Riyadh, New Delhi dan London,” katanya.

Najib berkata, pentadbirannya terpaksa mengambil keputusan tidak popular tetapi bertanggungjawab.

“Seperti memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menghapuskan subsidi kerana ia merupakan sesuatu yang bertanggungjawab untuk dilakukan.

“Dan ia diiktiraf badan penilai antarabangsa dan badan terkemuka dunia seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD),” katanya. – 8 November, 2017.

Iklan
Iklan