Bekas duta tinggalkan PAS, sertai DAP
Iklan
BEKAS duta Yeop Adlan Che Rose meninggalkan PAS untuk menyertai DAP kerana menyakini pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang.
Yeop merupakan bekas duta Malaysia ke Mexico, Brazil, Argentina dan beberapa negara Afrika.
Yeop pernah mewakili PAS sebagai calon Parlimen Hulu Langat pada 2004 dan pernah bersama jawatankuasa Lajnah Antarabangsa parti Islam itu.
Yeop kemudiannya dipinjamkan ke PKR dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin sewaktu rombakan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu pada April 2009.
“Nak dikatakan (kerajaan negeri Pulau Pinang) anti Melayu? Itu Jabatan Islam (negeri) dia bagi RM14 juta setahun,” kata Yeop dalam wawancara bersama Roketkini.com hari ini, ketika ditanya apa yang menarik minatnya menyertai parti yang dilabel anti-Melayu dan Islam itu.
Yeop berkata beliau percaya orang Melayu akan dapat mencapai kemajuan dalam sebuah negara yang ditadbir seperti Pulau Pinang.
Dengan hampir 30 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, Yeop berkata kadar hutang Pulau Pinang yang turun daripada RM680 juta kepada RM66 juta menunjukkan kecekapan kerajaan yang diterajui DAP menguruskan ekonomi.
“Tutup bocor, tak ada tiris, tender terbuka. Dia belanja tapi dengan baik,” kata Yeop, yang turut kagum dengan kebersihan persekitaran di Pulau Pinang.
“Lima puluh tahun dipegang oleh Barisan Nasional (BN), apa dia buat? Tak ada perancangan, kelam kabut, sesak…terutamanya tempat makan dengan tikusnya, kotor, masyhur dengan bau sampah.
“Ambil dua penggal sahaja, tengok, sudah bersih.”
Keluarga Yeop tidak asing dengan DAP.
Bapanya pernah menjadi calon mewakili DAP di kerusi Alor Pongsu pada Pilihan Raya 1974.
Yeop berkata, beliau menyertai PAS sebelum ini kerana memikirkan kedudukan orang Melayu.
Selain itu beliau tidak berpuas hati dengan cerita mengenai rasuah dalam kerajaan dan ketidakpedulian parti politik terhadap nasib orang Melayu.
“Jadi kita memikirkan mungkin mencari jalan melalui perjuangan PAS, tapi sepertimana yang kita tahu, lama-kelamaan PAS tidak boleh buat juga,” kata Yeop. – 8 November, 2017.