Iklan

Semua ahli Parlimen dipanggil menghadap Agong untuk pilih PM

Istana negara bijaya
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata seramai 90 ahli Parlimen dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam kumpulan pertama petang ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Februari, 2020.
Iklan

YANG di-Pertuan Agong akan mendapat pengesahan dari setiap ahli Parlimen untuk menentukan sokongan majoriti bagi memilih perdana menteri baharu, menurut Istana Negara.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin memberitahu pemberita, seramai 90 ahli Parlimen dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam kumpulan pertama petang ini.

Setiap ahli parlimen masing-masing akan diberi peluang bersemuka dengan baginda antara dua hingga tiga minit, katanya.

“Ini adalah kali pertama proses seperti ini berlaku dalam pemilihan perdana menteri.

“90 ahli parlimen ini adalah kumpulan pertama dan bakinya akan dipanggil esok,” katanya dalam taklimat bersama petugas media di Istana Negara.

Menurutnya, temuduga tersebut akan dijalankan sendiri oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disaksikan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Dalam pertemuan itu, setiap ahli parlimen tersebut dipangil secara rawak bagi menyuarakan pendapat masing-masing mengenai perdana menteri pilihan mereka, jelas Ahmad Fadil.

“Baginda perlu mendapatkan kepercayaan dan keyakinan kepada seseorang yang dipilih (untuk jawatan perdana menteri).

“Semua ahli Parlimen itu dipanggil menghadap secara rawak tanpa mengikut parti masing-masing dalam pertemuan bersemuka dengan baginda.

“Setakat ini kita tidak boleh dedahkan siapa ahli Parlimen yang dipanggil menghadap baginda hari ini,” katanya.

Ahmad Fadil seterusnya menjelaskan, pertemuan untuk sesi pertama itu tidak melibatkan mana-mana bekas menteri atau timbalan menteri.

Katanya, makluman kepada semua Ahli Parlimen berkenaan dilakukan pihak Istana Negara, semalam, selaras dengan Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Langkah itu bagi menyelesaikan kemelut politik sejak minggu lalu yang membawa kepada peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Yang di-Pertuan Agong semalam menerima peletakan jawatan Dr Mahathir dan seterusnya melantik ahli Parlimen Langkawi itu menjadi perdana menteri interim.

Perdana menteri baharu perlu dipilih dari kalangan ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti 222 ahli Dewan Rakyat itu. – 25 Februari, 2020.

Iklan
Iklan