Iklan

Jabatan, agensi, anak syarikat Selangor henti langgan Utusan, Berita Harian

Radzi Razak7 years ago10th Nov 2017Berita
Selangor azmin ali budget 2018 05
Kerajaan negeri Selangor mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat negeri itu untuk memberhentikan langganan akhbar keluaran Kumpulan Utusan dan Berita Harian serta-merta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2017.
Iklan

SELANGOR hari ini mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat negeri itu untuk memberhentikan langganan akhbar keluaran Kumpulan Utusan dan Berita Harian serta-merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Mohd Amin Ahmad Ahya yang menandatangani arahan itu berkata pekeliling bertarikh 12 Jun, 2008 sudah mengarahkan sedemikian tetapi didapati masih ada beberapa jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri yang masih melanggan dan membuat iklan dengan kedua-dua kumpulan akhbar berkenaan.

“Perkara ini mendapat perhatian pimpinan kerajaan negeri yang meminta supaya langganan akhbar tersebut (Kumpulan Utusan dan Berita Harian) dihentikan serta merta di setiap jabatan dan agensi.

“Sehubungan itu, pentadbiran meminta jasa baik setiap, jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri supaya memberi tumpuan untuk melanggan akhbar Selangor Kini, Sinar Harian dan The Star saja,” menurut pekeliling itu.

Surat berkenaan disahkan oleh beberapa pegawai yang bertugas di kerajaan negeri Selangor termasuk di Pejabat Menteri, namun mereka enggan mengulas lanjut.

Kumpulan Utusan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Kosmo serta beberapa majalah lain.

Berita Harian pula berada dalam Kumpulan NSTP, di bawah Kumpulan Media Prima yang turut menerbitkan akhbar Harian Metro, News Strait Times dan mengawal stesen TV seperti TV3, NTV 7 dan 8TV.

Kesemua mereka mempunyai editorial berpihak kepada kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN).

Azmin kini turut terlibat dalam isu undang-undang terhadap Utusan Malaysia yang didakwa memfitnahnya dalam isu penganjuran pesta arak di negeri itu.

Pada 25 September lalu, muka depan Utusan memaparkan tajuk “Azmin benar pesta arak” dengan tajuk kecil “Tidak hirau amaran PDRM mengenai ancaman pengganas”.

Laporan itu mendakwa kerajaan PKR Selangor tidak akan menghalang jika pesta arak “Better Beer Festival 2017” mahu diadakan di negeri itu.

Azmin pada hari sama mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan kepada Utusan Malaysia, menuntut akhbar itu memohon maaf, menarik balik laporan itu tanpa syarat, dan membayar ganti rugi. – 10 November, 2017.

Iklan
Iklan