Sungai Siput hadiah kepada BN jika Pakatan bertanding
Iklan
AHLI Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar yang tidak pernah lekang dengan senyuman tiba-tiba saja mengerutkan muka selepas menjawab satu panggilan telefon ketika baru sampai di sebuah kedai makan di Ipoh, minggu lalu.
Jeyakumar kemudian tidak jadi duduk untuk makan tengah hari sebaliknya memberitahu beliau harus segera balik ke kawasan. Tidak boleh tidak, mesti sampai di Sungai Siput dengan segera. Ada kecemasan, katanya.
“Saya kena pergi Sungai Siput sekarang, air sudah naik di beberapa kampung,” katanya sebelum terus menghidupkan enjin kereta memandu dari Ipoh ke Sungai Siput.
Sepanjang perjalanan sejauh lebih kurang 30km itu hujan masih mencurah lebat.
Pekan Sungai Siput adalah antara tempat yang lebih awal terjejas banjir, sehari sebelum hujan lebat dan ribut besar melanda Pulau Pinang dan sebahagian Kedah hujung minggu lalu.
Jeyakumar, 62, ahli biasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) tetapi beliau satu-satunya wakil parti itu di Dewan Rakyat sejak 2008.
Bekas doktor hospital kerajaan itu mencatat sejarah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 apabila menumbangkan bekas presiden MIC, Samy Vellu, ahli Parlimen Sungai Siput lapan penggal sejak 1974. Jeyakumar menang dengan majoriti 1,821 undi.
Sungai Siput sebelum itu adalah kerusi paling selamat bagi MIC. Dalam sejarahnya sebelum 2008, hanya ada dua wakil rakyat yang pernah mewakili Sungai Siput di Parlimen — pemimpin kaum India zaman Malaya merdeka, VT Sambanthan sejak 1958, yang kemudian digantikan oleh Samy.
Pada PRU 2013, Jeyakumar mempertahankan kerusi itu dengan majoriti lebih tinggi 2,793, mengalahkan seorang lagi pemimpin utama kaum India, Timbalan Presiden MIC, SK Devamany yang dipertaruhkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi maruah parti itu.
Majoriti penduduk Sungai Siput ialah pekerja ladang India serta peniaga dan pekebun masyarakat Cina, yang membentuk hampir 70% pengundi. Baki kira-kira 33% pengundi lagi adalah Melayu.
Malah, di sini juga terletaknya Sekolah Kalasalai Mahatma Gandhi yang merupakan sekolah jenis kebangsaan Tamil terbesar di Perak dengan lebih 1,000 murid.
Kampung sendiri
Jeyakumar anak kelahiran Ipoh tetapi Sungai Siput sudah jadi seperti kampungnya sendiri. Semasa umurnya masih di awal 20-an, ketika menuntut di Universiti Malaya, Jeyakumar sudah aktif dalam kegiatan masyarakat membantu kaum India di situ.
Diam tak diam, dua pertiga umurnya dihabiskan berbakti kepada penduduk Sungai Siput dan gerak kerjanya itu tidak banyak berubah sejak mula berjinak membantu pekerja ladang.
“Kalau kalah pilihan raya nanti, saya tetap akan membuat kerja yang sama yang saya buat ini,” katanya kepada The Malaysian Insight, dalam perjalanan hampir sejam meredah hujan ke Sungai Siput itu.
Jeyakumar berkata sebagai wakil rakyat pembangkang di negeri yang dikuasai BN, tidak banyak yang boleh beliau dilakukan tetapi beliau cuba sedaya upaya untuk memastikan pihak kerajaan negeri atau agensi kerajaan persekutuan mendengar aduan penduduk.
“Sebagai ahli Parlimen, lebih banyak pihak dengar suara rakyat yang disampaikan melalui saya,” katanya, menceritakan perbezaan khidmatnya di Sungai Siput sebelum dan selepas 2008.
Jasa Jeyakumar kepada penduduk Sungai Siput boleh dikatakan bukanlah kecil. Pada 2009, beliau membiayai sendiri pembinaan sebuah jambatan di pekan itu dengan menjual permit import yang beliau dapat sebagai ahli Parlimen untuk menunaikan janji pilihan raya Pakatan Rakyat (PR) di Perak.
Janji itu terpikul pada bahunya selepas kerajaan PR jatuh tidak sampai setahun selepas PRU12 apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat berpaling tadah keluar parti dan menyokong BN.
Jeyakumar sudah bertanding pilihan raya di Sungai Siput sejak 1999. Pada PRU tahun itu, beliau yang bertanding menggunakan lambang DAP kalah kepada Samy dengan 5,259 undi.
Pada PRU 2004, Jeyakumar bertanding sebagai calon PKR tetapi kalah lebih teruk dengan majoriti 10,349 undi.
Lambang parti sendiri
Selepas empat pilihan raya menggunakan bertanding atas tiket parti lain, PRU ke-14 yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun ini akan jadi yang pertama untuk Jeyakumar bertanding atas nama PSM.
Tetapi selain BN, PSM dijangka bakal berdepan dengan DAP juga setelah parti itu mengumumkan akan turut meletakkan calonnya di Sungai Siput. Tindakan DAP Perak itu adalah tindak balas selepas PSM mengumumkan akan bertanding di beberapa kerusi yang dipegang oleh DAP.
Namun bagi Jeyakumar, kehadiran DAP di Sungai Siput itu nanti akan memecahkan undi pembangkang dan memberi peluang kepada BN untuk kembali menguasai kawasan Parlimen itu.
“Penduduk keturunan Cina ada kira-kira 40% di sini. Pada pilihan raya lepas, saya dapat hampir 80% undi mereka. Saya juga dapat kira-kira 33% undi kaum Melayu, yang juga 33% pengundi di kawasan ini.
“Saya jangkakan jika DAP bertanding, undi mereka akan lebih kecil daripada saya dapat dahulu kerana sentimen Melayu terhadap parti itu,” katanya.
Jeyakumar juga percaya undi kaum India yang merangkumi 21% daripada jumlah pengundi akan turut pecah sekiranya ada pertandingan tiga penjuru bersama BN dan DAP.
“Pada 2013, ada ‘swing’ pengundi India dan saya hanya dapat 53%. Saya sudah berada di sini selama 40 tahun dan ada keserasian dan ‘rapport’ dengan mereka.
“Mereka mungkin akan kembali kepada BN sekiranya DAP terus bertanding di sini.
“Jadi kalau PSM terpaksa berhadapan dengan Pakatan Harapan (PH) di sini, kerusi ini akan dianggap hadiah kepada BN,” katanya.
Sungai Siput mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Lintang dan Jalon, satu diwakili oleh BN, satu lagi oleh PH.
Lintang merupakan kawasan majoriti Melayu manakala Jalong majoriti Cina. Kedua-dua kawasan ini menunjukkan bukti perbezaan pengundi antara Melayu yang memihak kepada BN dan pengundi Cina yang mengundi pembangkang.
Di Lintang, dengan lebih 56% pengundi Melayu, Umno yang mewakili BN mendapat majoriti 3,977 undi pada pilihan raya lepas mengalahkan PAS yang mewakili PR ketika itu.
Calon DAP di Jalong pula mengatasi calon Gerakan yang mewakili BN dengan lebih 9,000 undi di kawasan yang turut mempunyai 56% pengundi Cina.
Dinamik ini menjadikan pengundi India sebagai penentu untuk mana-mana calon menang kerusi Parlimen Sungai Siput.
Turun kawasan
Rata-rata penduduk di Sungai Siput kenal Jeyakumar. Beliau juga sangat disenangi oleh orang yang berurusan dengannya seperti yang ternampak ketika beliau melawat kawasan terkena banjir pada 3 November lalu.
Tetapi bagi sesetengah orang mungkin merasakan agak pelik melihat aksi bersahaja Jeyakumar yang terkenal dengan sifat ramah-tamah dan rendah diri. Kalau tidak kenal, orang mungkin tidak menyangka itu seorang pemimpin politik.
Ditemani dua pembantu yang juga aktivis muda PSM, beliau meronda kawasan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero keluaran awal 1990-an. Pajero warna biru itu memang cukup dikenali di Sungai Siput.
Beliau turut memberi komen spontan ketika ditanya mengapa cara pembawaan dirinya berbeza dengan wakil rakyat yang lain, sama ada BN ataupun PH.
“Gaji dan elaun wakil rakyat sangat tinggi. Saya tak tahu nak buat apa hidup dengan RM25,000 sebulan. Saya bagi kepada parti dan buat program di kawasan. Saya hanya ambil sedikit.
“Amat mudah untuk berubah kerana wang. Saya hanya buat biasa dan tak ada protokol apabila berjumpa dengan orang lain,” katanya.
Beliau juga kekal menjadi satu-satunya ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta secara penuh kepada media dan orang awam sejak 2008.
Seorang penduduk Taman Muhibbah yang hanya mahu dikenali sebagai Muthu berkata Jeyakumar seorang yang amat rajin dan cepat bertindak memberi bantuan dan sangat mudah untuk dihubungi.
“Dr (Jeyakumar) selalu tolong dan pasukan dia akan tubuhkan jawatankuasa penduduk untuk bantu masalah orang di sini. Banjir ini kali kedua berlaku di kawasan ini dan dia selalu ada,” katanya
Banjir yang melanda sebahagian kawasan di pekan Sungai Siput, Taman Shang-ri La, Taman Muhibbah dan Kampung Veerasamy awal November lalu merupakan perkara baru dan dipercayai berpunca akibat pembangunan di kawasan bukit berhampiran.
“Tempat ini sudah lebih 20 tahun tidak banjir. Banjir pertama bulan lepas, sekarang dah kali kedua. Teruklah nak cuci rumah tiap-tiap bulan,” kata seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Vasu.
Jeyakumar menghabiskan masa hampir tiga jam menyusuri kawasan yang terlibat banjir dan menjejak kawasan kemungkinan punca itu, di satu kawasan kolam berhampiran Taman Shangri-la yang terletak di kaki bukit.
“Kita akan cuba melawat kawasan pembinaan di tanah tinggi itu untuk lihat apakah punca sebenar banjir ini berlaku,” katanya, meminta siasatan itu diteruskan oleh pegawainya.
Kakitangan awam, Hafiz yang ditemui di pekan Sungai Siput berkata walaupun ramai tidak tahu tentang PSM, rata-rata mereka kenal Jeyakumar dan tahu kehadirannya di kawasan itu.
“Ya, Dr bukan orang asing. Saya fikir beliau lebih dikenali berbanding wakil pembangkang yang lain di kawasan ini,” katanya, yang bekerja di pekan itu.
Tetapi Jeyakumar mengaku antara kekangan yang beliau hadapi ialah orang masih tidak dapat membezakan antara PSM dan parti-parti pembangkang lain dalam PH.
“Penduduk di sini kenal saya. Walaupun mereka tak tahu sangat PSM itu apa, mereka jumpa akan angkat tangan yang digenggam,” katanya, merujuk kepada logo parti sosialis itu.
Tetapi beliau yakin kekuatannya adalah kerana sudah lama berbakti di Sungai Siput, sejak empat dekad lalu.
“Sebab itu saya katakan, kehadiran saya di sini tidak mengganggu pakatan pembangkang, malah membantu PH untuk mengekalkan kerusi ini daripada diambil oleh BN,” katanya. – 12 November, 2017.