Iklan

Kertas siasatan ke atas Raja Petra akan diserah kepada Jabatan Peguam Negara 

Melati A. Jalil7 years ago11th Nov 2017Berita
Raja petra epa 3 nov
Raja Petra Kamaruddin menuduh peguam negara terbabit rasuah dalam dua artikel yang disiarkan dalam blog miliknya Malaysia Today.– Gambar EPA, 11 November, 2017.
Iklan

POLIS akan menyerahkan kertas siasatan berhubung tuduhan rasuah oleh Raja Petra Kamaruddin terhadap Peguam Negara, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun. 

“Pada 1 November, tiga pegawai dari Bukit Aman mengambil keterangannya. Dan kita akan hantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara tidak lama lagi. 

“Kami sedang menunggu arahan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di pusat latihan Unit Tindakan Khas di Cheras hari ini.  

Minggu lalu, The Malaysian Insight melaporkan sepasukan tiga anggota polis dari ibu pejabat polis Kuala Lumpur merakamkan kenyataan beliau selama lima jam pada Rabu. 

Polis terpaksa ke UK untuk merakamkan kenyataan Raja Petra berikutan blogger pro Umno itu tinggal di sana. Dia meninggalkan Malaysia selepas didakwa atas tuduhan hasutan dan fitnah pada 2006 berhubung beberapa artikel membabitkan Perdana Menteri Naib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, dengan pembunuhan model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu. 

Laporan polis yang dibuat Apandi diklasifikasikan sebagai jenayah fitnah, dibuat selepas Raja Petra menuduh Peguam Negara terbabit rasuah dalam dua artikel  – Strong rumours surrounding the AG: bahagian 1 dan bahagian 2 – yang disiarkan di blog miliknya Malaysia Today. 

Antara tuduhan yang dibuat terhadap Apandi adalah Peguam Negara itu meminta RM4 juta daripada ahli perniagaan China, yang dikenal pasti sebagai “rakan kongsi perniagaan” kepada sultan Johor, dalam kes yang dimenanginya.

Raja Petra turut menulis mengenai kononnya satu pertemuan diadakan pada 2015 antara hakim kanan - bekas ketua hakim Arifin Zakaria, Ketua Hakim Md Raus Sharif dan presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin – dengan ahli politik kanan yang didakwa bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan.

Peguam negara itu menafikan dakwaan rasuah Raja Petra dan artikel yang disiarkan di laman blog terbabit, dan menambah akan mengambil tindakan saman ke atas Raja Petra.

Beliau membuat laporan polis di Kuantan, Pahang, dan pejabatnya membuat laporan kedua di balai polis Putrajaya bulan lalu.   

Pejabat Apandi turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia terhadap Malaysia Today.  – 11 November, 2017.

Iklan
Iklan