Kami hanya kurangkan bilangan pengawal peribadi Dr Mahathir, kata KPN
Iklan
KETUA Polis Negara Mohamad Fuzi Harun hari ini sekali lagi menafikan dakwaan bahawa perkhidmatan pengawal peribadi bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ditarik balik, sebaliknya berkata polis hanya mengurangkan bilangan pegawai.
“Kami hanya mengurangkan (bilangan pegawai). Semuanya bergantung kepada ancaman, kalau kami fikir ada ancaman serius terhadapnya, kami akan tambah bilangan dan sediakan keselamatan yang perlu.
“Buat masa ini, isterinya juga mempunyai Pegawai Tindakan Khas (UTK) wanita, (dan) kami menjaga keselamatan di rumahnya. Banyak pihak yang membuat tuduhan tak berasas,” katanya di Cheras hari ini,merujuk kepada Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Pada 1 November, Dr Mahathir di halam Facebook berkata polis telah menarik balik pengawal peribadi yang diberikan kepada semua bekas perdana menteri.
Dr Mahathir juga semalam mengulangi bahawa layanan ke atasnya itu tidak pernah berlaku kerana bekas perdana menteri lain tidak pernah dilayan seperti itu.
Pada tahun lepas, pengiring Dr Mahathir telah ditarik balik berikutan kehadirannya yang berterusan dalam program-program anti kerajaan.
Bekas pemimpin Barisan Nasional itu juga berkata beliau turut disekat daripada menggunakan kemudahan yang dikawal kerajaan persekutuan, kerajaan negeri BN dan bandaraya.
Jabatan Perdana Menteri dua hari lepas mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak pernah menarik balik sebarang kemudahan yang diberikan kepada bekas perdana menteri, termasuk Dr Mahathir.
Kenyataan itu menyebut, kerajaan masih membekalkan pegawai untuk pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana dan di kediamannya selaras dengan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980. – 11 November, 2017.