Iklan

Tuhan hantar banjir untuk BN rampas Pulau Pinang, kata Zahid

Radzi Razak7 years ago12th Nov 2017Berita
Gerakan barisan nasional general assembly 05
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Persidangan Agung Parti Gerakan di Cheras, Kuala Lumpur hari ini. Dalam ucapannya itu, beliau menyeru BN mengambil kesempatan merampas kembali Pulau Pinang memandangkan tuhan telah menurunkan "bala" dalam bentuk bencana alam kepada negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 November, 2017.
Iklan

BARISAN Nasional perlu ambil kesempatan untuk merampas kembali Pulau Pinang memandangkan “bala” telah diturunkan tuhan kepada negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

“Tuhan telah menurunkan bala pada mereka yang mendabik dada kononnya Pulau Pinang telah bebas banjir.

“Tetapi, apa yang berlaku adalah sesuatu yang tuhan tunjukkan bahawa ini adalah ketika terbaik untuk kita ambil alih semula kerajaan Pulau Pinang,” kata Zahid ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-46 Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Cheras hari ini. 

Banjir di Pulau Pinang dikatakan banjir paling buruk dalam sejarah 20 tahun kebelakangan ini. Banjir itu telah mengorbankan seramai tujuh nyawa selepas hujan lebat dan angin kencang berterusan selama lebih lima jam awal pagi Ahad lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menghubungi Zahid pada jam 3.34 pagi Ahad lalu meminta bantuan daripada agensi kerajaan persekutuan selepas 60% negeri itu terutamanya di Georgetown dan Seberang Perai Utara lumpuh akibat banjir.

Zahid berkata, BN dan kerajaan persekutuan ikhlas serta “buta warna” (pilih kasih) dalam menghulurkan bantuan termasuk mengumumkan kembali peruntukan RM150 juta untuk program tebatan banjir di Sungai Pinang.

Beliau turut menegaskan betapa BN tidak pernah mempolitikkan isu berkenaan khususnya mengenai bantuan yang diberikan.

“Kerajaan peduli permasalahan yang dihadapi dan kita mahu komitmen kerajaan pusat diterima baik. Fasa ke-3 tebatan banjir pasti dilaksanakan. Tapi jangan sanggah PM (perdana menteri) sebagai pemimpin prihatin kepada rakyat.

“Dan kita lihat bagaimana saya juga turun bantu rakyat Penang. Bagaimana saya lihat Penang yang tak pernah banjir, (kemudiannya) banjir. Bagaimana dilihat saya peluk, cuma tak mencium (Lim) kerana sesungguhnya saya ‘buta warna’ dalam memberikan bantuan mangsa banjir.

“Inilah sikap kita dalam BN. (Inilah juga sikap) Mah Sew Keong dan mereka yang di atas pentas ini juga.

“Adakah kita mempolitikkan isu itu? Tidak sama sekali,” kata beliau merujuk kepada gambar beliau dan Lim berpelukan ketika Zahid tiba di Pengkalan Tentera Udara Butterworth, Selasa lalu.

Sementara itu, Mah yang juga Presiden Gerakan sangat yakin bahawa sekarang adalah masa paling sesuai bagi Gerakan untuk kembali menerajui negeri itu setelah tewas di tangan DAP dan Pakatan Rakyat sembilan tahun lalu.

“Tiada siapa yang mengenali Pulau Pinang lebih daripada Gerakan,” kata beliau disambut tepukan gemuruh hampir 2,000 hadirin ketika memberikan ucapan dasar pada persidangan itu.

Mah turut menyalahkan pembangunan tidak terkawal di negeri itu oleh kerajaan DAP kerana meluluskan 39 projek berbanding hanya lapan ketika Koh Tsu Koon dari parti Gerakan menjadi ketua menteri daripada tahun 1990 hingga 2008.

“Ini adalah empat kali ganda daripada apa yang telah diluluskan oleh pimpinan sebelumnya. Sudah-sudahlah menunding jari. Anda kerajaan (negeri), take the blame (mengaku salah),” kata beliau. – 12 November, 2017.

Iklan
Iklan