Cameron Highlands hangat menjelang PRU14
Iklan
Menuju Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), The Malaysian Insight menyiarkan siri laporan mengupas kerusi-kerusi marginal. Dalam siri kali ini, kami melihat tiga parti politik yang menghangatkan kempen Cameron Highlands.
TANYALAH mana-mana penduduk di Tanah Rata bagaimana hidup di tanah tinggi dengan suasana dingin di perkebunan teh dan bekalan sayur serta buah-buahan segar sepanjang tahun. Jawapan mereka hampir sama: udara di Cameron Hinghlands tidak lagi sejuk seperti dulu, sebaliknya semakin hangat berbanding beberapa tahun lalu.
Kalau ditanya pula tentang keadaan politik setempat, yang dalam pilihan raya umum (PRU) lalu dimenangi hanya dengan majoriti kecil 462 undi, jawapan mereka juga sama: suhu politik di Cameron Highlands menjelang PRU14 pun semakin hangat.
Kawasan Parlimen Cameron Highlands dan dua kerusi dewan undangan negeri (DUN) di bawahnya –Tanah Rata dan Jelai kini jadi tumpuan tiga parti yang sudah giat berkempen: MIC, MyPPP dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
MIC dan MyPPP komponen Barisan Nasional (BN), manakala PSM ialah parti pembangkang yang pernah bekerjasama dengan parti pembangkang lain dan kini bergabung dalam Pakatan Harapan (PH).
Dek jumlah pengundi India yang tinggi iaitu 20%, Cameron Highlands selama ini ditandingi oleh MIC sejak kerusi itu diwujudkan selepas persempadanan semula pada 2004.
Ini satu antara tiga kerusi yang mampu dimenangi oleh BN pada PRU13, selain Tapah dan Segamat.
Pada PRU13, kerusi ini dimenangi oleh bekas Presiden MIC yang juga bekas menteri kabinet, G Palanivel. Tetapi selepas krisis dalaman parti, Palanivel tersingkir dan kemudiannya hilang dari radar politik.
Jumlah pengundi dalam kalangan Orang Asli di kerusi DUN Jelai juga menyaksikan kemunculan aktivisnya, Mat Nor Ayat yang disebut-sebut akan memajukan diri sebagai calon.
Kira-kira 33% daripada 11,000 undi di Jelai akan datang daripada pengundi Orang Asli.
Presiden MyPPP M Kayveas mahukan kerusi Cameron Highlands dengan alasan itulah janji bekas pengerusi BN Dr Mahathir Mohamad sebelum beliau bersara sebagai perdana menteri pada 2003.
MIC pula mempertahankan pendirian itu kerusi milik parti tersebut, yang ditandinginya sejak 2004, sejak kerusi itu mula-mula ada.
Dalam kalangan pemerhati politik, MyPPP dikatakan ada alasan yang kukuh kerana MIC dan wakil rakyatnya, yang juga bekas presiden parti tidaklah nampak berminat dengan kerusi itu.
Bagi calon PSM, L Suresh, pertelingkahan antara MIC dan MyPPP memberi kelebihan kepada partinya di Cameron Highlands dalam pilihan raya akan datang ini.
“Saya bekerjasama dengan jawatankuasa penduduk di sini sejak 2004. Ada peluang untuk kita kerana sudah bersama sejak dulu lagi bersama penduduk,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Suresh yang kerap kali menjadi suara pekerja ladang dan masyarakat Orang Asli yakin pada kali ini, lebih ramai pengundi sudah kenal PSM – parti yang dianggap bukan “heavyweight” dalam percaturan politik negara.
“Selepas PRU13 kita lihat sokongan terhadap MIC dan BN merosot, untuk bertahun mereka hampir tidak tunjuk muka. Kami sentiasa ada di sini.
“Itu kelebihan kami. Kami tetap bekerja edar risalah, tunjuk logo kami di kalangan penduduk bagi mereka kenal kami. Kami menambah populariti kami di sini,” katanya.
Tiga penjuru
Cameron Highlands, pusat peranginan yang terkenal sejak zaman pendudukan British di Tanah Melayu ini, dibangunkan sejak 1920-an sebagai kawasan percutian kaum elit dan ladang teh kerana iklim sejuk persis negara Eropah.
Selepas Merdeka, ia jadi pusat penanaman sayur-sayuran kerana iklimnya yang sederhana serta jadi pusat percutian mingguan kerana jaraknya yang tidak terlalu jauh daripada Lembah Klang dan Ipoh.
Kerusi Parlimen ini dibentuk oleh dua kerusi DUN: Tanah Rata, kerusi majoriti Cina dengan kira-kira 16,000 pengundi, dan Jelai dengan 11,000 pengundi rata-ratanya Melayu dari Felda Sungai Koyan.
Tanah Rata terletak dalam kawasan pekan, yang turut meliputi kawasan Brinchang dan Blue Valley. Ia dimenangi oleh calon DAP, Leong Ngah Ngah dengan lebih 3,000 undi.
Kebanyakan pengundi di sini bekerja sama ada dalam bidang pertanian atau bergantung hidup pada pelancongan. Hampir 54% pengundi Cina, 20% India manakala baki terdiri daripada pengundi Melayu dan Orang Asli.
Kira-kira 66% pengundi di Jelai pula Melayu, kebanyakannya peneroka dan generasi kedua daripada gugusan Felda Sungai Koyan, yang terletak lebih 50km dari Tanah Rata. Tetapi kerusi ini juga mempunyai 33% pengundi Orang Asli, yang tertinggi di Malaysia.
Walaupun Orang Asli dan peneroka Felda dikatakan sebagai stok pengundi tetap pemerintah, calon BN, Wan Rosdy Wan Ismail hanya mendapat 52% undi pada PRU13. Beliau menang dengan 3,182 undi menewaskan calon PAS, Abdul Karim Nor.
Suresh juga mendakwa DAP pun sama tidak memberikan perhatian kepada kerusi itu sejak calonnya, M Manogaran kalah kepada Palanivel.
“DAP tidak ada pejabat di sini, yang ada hanyalah pejabat peribadi calon parlimen mereka dulu, tapi bukan pejabat DAP atau pusat khidmat DUN sendiri,” katanya.
“Manogaran hanya tewas 400 lebih undi tapi selepas itu langsung tak nampak muka. Dia tak buka pejabat di sini.
“MIC dan BN pun sudah jarang turun dan tunjuk muka sebelum ini. Kami sudah bekerja selama 14 tahun dan ini kelebihan untuk kami,” tambahnya.
Kayveas sebelum ini juga mengaku partinya awal lagi sudah membuat kerja dan menganjurkan pelbagai program di kawasan itu, sejak selepas PRU lalu.
“Saya tetap akan bertanding sama ada sebagai calon BN atau pun calon bebas bagi kawasan Cameron Highlands,” katanya baru-baru ini.
Ketua Pemuda myPPP Sathiah Sudakaran memberitahu The Malaysian Insighti kajian pihaknya menunjukkan BN masih ada peluang kekal di Cameron Highlands kalau calon yang bertanding ialah Kayveas, dan bukannya calon MIC.
“Kami ketuk pintu rumah ke rumah untuk dengar sendiri rintihan dan segala masalah yang penduduk hadapi setiap hari dan cuba selesaikan sebelum PRU14 dengan penuh komited.
“Tetapi kalau calonnya Kayveas, BN boleh menang sampai lebih 5,000 undi,” katanya.
Seorang pengusaha ladang di Tanah Rata yang hanya mahu dikenali sebagai John mengaku lebih kerap melihat Suresh dan Kayveas melawat dan berjumpa pengundi di kawasan Tanah Rata dan Jelai berbanding mana-mana pemimpin MIC.
“Saya ingat Palanivel ada turun kadang-kadang, tetapi tahun ini lebih banyak Kayveas dan dia juga buat Hari Karnival awal tahun ini di sini, jumpa penduduk kawasan ini,” katanya.
Suara Orang Asli
Populariti Cameron Highlands sebagai tarikan pelancong bagaimanapun memberikan kesan kepada alam sekitarnya.
“Ya, makin ramai datang, makin teruk dan kotor Cameron,” kata Chong Lau, 54, seorang peniaga di pekan Tanah Rata.
“Makin banyak buat hotel dan tempat pelancong. Makin tinggi risiko tanah runtuh dan kemalangan.”
Chong berkata pembersihan hutan untuk ladang yang semakin besar di kawasan Tanah Rata dan Brinchang menyebabkan keadaan iklim yang berubah.
“Sekarang sudah makin panas. Awak sendiri tak perlu pakai baju panas malam-malam hujan macam ini. Macam mana nak kekalkan Cameron Highlands kalau wakil rakyat tidak fikir isu ini,” katanya.
Impak ini turut diakui penggiat kedai makan di kawasan Ringlet, Saadah Ahmad yang berkata walaupun lebih banyak gerai dibuka bagi menanggung permintaan pelancong, ia tidak memberi “ketenangan” kepada penduduk sekitar.
“Dah tak macam dulu, penuh dan sesak setiap kali hujung minggu, kita yang rasa nak turun KL (Kuala Lumpur) bila cuti sekolah,” katanya.
Tetapi yang paling terjejas dengan pembangunan di sekitar Cameron Highlands ialah golongan Orang Asli yang terpaksa berpindah setiap kali ada projek baru.
“Tanah yang kami minta sebagai tanah adat semakin kecil,” keluh aktivis Orang Asli, Jefri Hasan dari Pos Lanai.
“Setiap kali ada projek juga begitu, contohnya pembinaan Empangan TNB-Telum sebelum ini yang buat kami berpindah randah, diberi tanah kecil di tempat baru.”
Jefri berkata Orang Asli hanya mahukan kawasan tanah adat untuk mereka tinggal, memburu dan mencari hasil hutan, bukannya rumah kecil dan seekar tanah ladang untuk mereka tinggal tanpa boleh bergerak.
“Kami umpama merempat di tanah sendiri. Kalau orang Asli tiada tanah, maka mereka tiada pendapatan.
“Kami harap PRU depan ini akan dapat pemimpin yang ambil berat masalah orang Asli,” katanya. – 13 November, 2017.