Bersatu disingkir dari pentadbiran Selangor, kata MB
Iklan
MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari hari ini mengumumkan wakil Bersatu akan dikeluarkan secara berperingkat dalam pentadbiran negeri, bermula hari ini.
Amirudin berkata, tindakan itu diambil susulan perkembangan politik semasa dan perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Pakatan Harapan (PH) Selangor juga mengambilkira dinamik politik yang berlaku di peringkat persekutuan.
“Sehubungan dengan itu, pimpinan tertinggi PH telah memaklumkan kepada Sultan Selangor, pentadbiran negeri tidak lagi dianggotai Bersatu dan secara automatik bukan lagi dalam gabungan kerajaan negeri Selangor,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata semua pemimpin dan ahli Bersatu terkeluar daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan dan Majlis Permuafakatan Ketua Kampung.
Selain itu, wakil rakyat itu juga tidak lagi memimpin anak syarikat kerajaan negeri serta seluruh rangkaiannya yang berkaitan.
Tambahnya, segala peruntukan yang diberikan kepada pimpinan Bersatu juga akan dibekukan.
“Kita juga bekukan peruntukan terlibat dengan mereka termasuk dua ahli Bebas yang dipecat parti dalam kalangan adun,” katanya, lagi.
Keputusan itu dibuat sesuai dengan keadaan politik semasa, kata Amirudin lagi di kediaman rasmi menteri besar di Shah Alam.
Amirudin sebelum itu mengadakan pertemuan hampir dua jam bersama barisan Adun PH Selangor.
Dun Selangor kini mempunyai 43 perwakilan daripada PH, manakala pembangkang dari Umno PAS, dan Bersatu, termasuk dua Adun Bebas berjumlah 13 orang.
“Kedudukan kerusi juga berubah, anggota Bersatu kini diletakkan di blok pembangkang dalam sidang Dun yang akan bermula 16 Mac depan,” kata Amirudin.
Beliau berkata, pengganti Abdul Rashid Asari dari Bersatu yang memegang portfolio kebudayaan dan pelancongan, peradaban Melayu dan warisan negeri akan diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor.
Abdul Rashid juga merupakan pengerusi Bersatu Selangor.
Amirudin berkata, beliau juga mendapat sokongan penuh daripada Adun PH di Selangor, untuk kekal sebagai menteri besar.
“Saya dapat komitmen jelas daripada DAP, Amanah, dan PKR,” katanya, lagi.
Amirudin sebelum ini dikatakan bersama dengan kumpulan penyokong Azmin.
PKR sebelum ini memecat keahlian Adun Gombak Setia Hilman Idham yang juga setiausaha politik Azmin, susulan krisis politik yang mengakibatkan berlaku pertukaran kerajaan.
Azmin bersama 10 pimpinan PKR yang lain seperti Zuraida Kamaruddin turut meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu.
Hilman bagaimanapun tidak menyatakan pendirian parti mana akan disertainya, sekali gus menjadikan beliau wakil Bebas tunggal dalam DUN Selangor.
Amirudin juga dalam sidang itu mengumumkan penyingkiran lima Adun Bersatu daripada pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
Mereka termasuklah; Harumaini Omar (Batang Kali); Mohd Shaid Rosli (Jeram); Sallehudin Amiruddin (Kuang); Adhif Syan Abdullah (Dengkil) dan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Abdul Rashid Asari (Selat Klang).
Azmin juga merupakan Adun Bukit Antarabangsa. – 5 Mac, 2020.