Iklan

Perhimpunan Agung Umno fokus persiapan PRU14, kata Hishammuddin

Radzi Razak7 years ago13th Nov 2017Berita
Hishammuddin hussein memorial tun hussein onn 04 (1)
Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein berkata, PAU yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan akan memfokuskan kepada pilihan raya umum ke-14.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2017.
Iklan

PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) bulan depan tidak akan membincangkan isu pemilihan parti, kata Naib Presidennya, Hishammuddin Hussein, sebaliknya memberikan fokus hanya kepada persiapan menjelang pilihan raya umum ke-14, yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan.

“Tak guna pegang jawatan tinggi dalam parti kalau tak menang pilihan raya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti semalam berkata PRU14 akan diadakan dalam tempoh 180 hari atau sebelum Mei tahun depan.

Umno menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan sebelum Oktober tahun kepada 18 bulan sehingga April tahun depan. Umno dijangka akan mengumumkan, pada perhimpunan agungnya bulan depan, penangguhan sekali lagi pemilihan parti sehingga selepas PRU14.

Jelas Hishammuddin, bagi menghadapi PRU14, usul-usul yang akan dibincangkan turut menyentuh perubahan yang perlu dilakukan oleh parti.

“Secara peribadi saya tak pernah lihat persiapan begitu teliti untuk pilihan raya umum. Untuk sesebuah parti mendapat kembali mandat yang kuat, Umno pertu membuat perubahan,” katanya.

Usul yang dikemukan pada tahun ini menjurus kepada “feel good factor” dan kejayaan Umno membawa kestabilan, keamanan dan keselamatan kepada rakyat Malaysia dalam dunia yang kucar-kacir sekarang, kata Hishammuddin.

“Penting untuk membuatkan rakyat sedar perjalanan kita ke tahap hari ini. Kita ambil (contoh) bajet. Itu kalau tak ‘feel good’ tak taulah.

“Inilah akan dikupas dan dibentangkan supaya jangan kita beralih pandang daripada yang kita jayakan. Apa yang kita sampai hari ini adalah kerana kepimpinan tertinggi Umno,” katanya.

Menurut Hishammuddin, pihak menerima sejumlah 826 usul daripada 191 bahagian Umno, dengan majoriti menyentuh soal politik dan pendidikan, diikuti isu sosial, ekonomi dan agama.

Daripada 826 usul itu, 191 usul diterima tanpa bahas.

Perhimpunan Agung Umno 2017 akan berlangsung antara 5 hingga 9 Disember ini di Kuala Lumpur. – 13 November, 2017.

Iklan
Iklan