Tiada pelarian Rohingya terlibat dalam keganasan, kata menteri
Iklan
MALAYSIA akan terus memantau pelarian Rohingya di negara ini bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan keganasan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim.
Shahidan memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa tiada kompilasi data mengenai jenayah yang dilakukan pelarian Rohingya kerana polis hanya berpandukan data jenayah yang dilakukan oleh warga asing berdasarkan kewarganegaraan dan bukan etnik.
“Bagi 2017, sebanyak 82 jenayah dilakukan warga asing. Daripada jumlah ini, 78 kes dilakukan oleh warga Myanmar. Ini termasuk 30 jenayah kekerasan dan 48 jenayah melibatkan harta benda.
“Setakat ini, polis tidak mengesan sebarang kes melibatkan keganasan yang dilakukan pelarian Rohingya di Malaysia,” katanya.
Pada 24 Oktober, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein memberi amaran yang kumpulan Islamic State (IS) sedang merekrut pelarian Rohingya dan ia mahu menubuhkan pengkalan di Malaysia.
Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay juga berkata IS mengambil kesempatan daripada nasib pelarian Rohingya untuk merekrut anggota baru. – 13 November, 2017.