Pesawat peribadi, kapal layar tiada pengecualian GST
Iklan
TIADA pengecualian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk pesawat peribadi dan kapal layar, kata Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani.
Katanya, dasar pelaburan mengutamakan pertumbuhan ekonomi.
Sekiranya orang beli pesawat peribadi, kapal layar, mereka perlu bayar GST,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) yang mahu mengetahui sama ada pembelian pesawat peribadi atau kapal layar untuk kegunaan peribadi dikecualikan GST.
Pada pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri Najib Razak berkata import barangan seperti pesawat dan kapal oleh syarikat penerbangan dan perkapalan, juga dikecualikan GST.
“Saya hanya mahu penjelasan; sekiranya kita beli pesawat peribadi atau kapal layar untuk kegunaan peribadi, seperti Jho Low, adakah ia dikecualikan daripada GST? Sekiranya dikecualikan, ianya tidak boleh diterima,” kata Wong.
Johari kemudiannya mengesahkan pembelian barangan seperti itu untuk kegunaan peribadi tidak akan dikecualikan daripada GST.
Beliau menambah pembelian pesawat di masa akan datang oleh Malaysia Airlines, Malindo dan AirAsia akan dikecualikan daripada GST.
Jho Low merupakan ahli perniagaan Malaysia dan pembiaya bagi banyak aset amanah yang didakwa oleh Jabatan keadilan Amerika Syarikat diperoleh daripada 1MDB.
Persoalan berhubung peranan Interpol dalam menjejaki Low kali pertama dibangkitkan pada 2015. Jabatan Keadilan AS percaya Low merupakan dalang di sebalik skandal 1MDB.
Low bagaimana pun sehingga kini tidak dapat dikesan.
Pada 23 Oktober, Timbalan Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata polis Malaysia telah menutup siasatan terhadap ahli perniagaan itu, yang turut dikehendaki untuk siasatan oleh negara lain. – 13 November, 2017.