Iklan

Bajet 2018 diluluskan pada peringkat dasar

Melati A. JalilNabihah Hamid7 years ago13th Nov 2017Berita
Najib razak budget 2018 271017 tmiseth 03
Perdana Menteri Najib Razak bersama timbalannya Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018 selepas membentangkan Bajet 2018 di Parlimen baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2017.
Iklan

RANG Undang-Undang Perbekalan atau Bajet 2018 diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat, petang tadi selepas mendapat undi majoriti 107 ahli Parlimen. 

Manakala 59 lagi menentang dan 11 lagi tidak mengundi apabila undian belah bahagi diadakan, umum Speaker Pandikar Amin Mulia.

“Keputusan undi belah bahagi adalah seperti berikut, yang tidak mengundi 11 orang, yang tidak bersetuju untuk rang undang-undang dibacakan kali kedua, 59 orang, yang bersetuju untuk rang undang-undang dibacakan kali kedua, 107 orang,” kata Pandikar di Dewan Rakyat.

Pengundian dibuat sejurus penggulungan Bajet 2018 oleh Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, daripada 12 ahli Parlimen PAS, hanya beliau yang menolak Bajet 2018.

“Ahli PAS ada 12 orang termasuk saya. Saya undi tolak, yang lain (PAS) tak undi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Mahfuz, dua ahli Parlimen PAS tidak hadir iaitu Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli. 

Tahun lalu, 11 ahli PAS tidak membuang undi kerana bersifat berkecuali.

Disifatkan sebagai ibu segala bajet oleh Perdana Menteri Najib Razak, kerajaan memperuntukkan RM46 bilion atau 16% daripada RM280.25 bilion daripada Bajet 2018 untuk pembangunan pada 2018.

Antara golongan yang dapat manfaat ialah nelayan, pelajar, penjawat awam, dan golongan pertengahan.

Kerajaan turut mengumumkan pemansuhan empat tol dan bayaran khas RM1,500 kepada penjawat awam, peruntukan Putrajaya untuk pembangunan kekal sama seperti 2017 iaitu RM46 bilion. – 13 November, 2017.

Iklan
Iklan