Iklan

Search dalam Katharsis

Hasmi Hashim7 years ago14th Nov 2017Suara
Search
Search melancarkan album terbarunya bertajuk “Katharsis” yang memuatkan 10 lagu, selepas 11 tahun menyepi. Album dijangka berada di pasaran hujung bulan ini. – Gambar The Malaysian Insight, 14 November, 2017.
Iklan

KETIKA lagu “Isabella” jadi demam se-Nusantara, umur aku 13 tahun. Di tingkatan satu.

Aku mengetahui tentang muzik rock dari rumah jiran. Dari seorang abang kawanku. Dia ada radio yang boleh memutarkan kaset. Dia mendengar album Search dengan tajuknya, “Cinta Buatan Malaysia”.

Kami yakin telah jadi bangsa yang boleh berdiri sama tinggi dengan sesiapa pun. Malaysia pada awal 1980-an sudah mampu membikin keretanya, lebuh raya dan jambatan Pulau Pinang yang terpanjang di Asia Tenggara.

Siapa sangka, 28 tahun kemudian, aku menuliskan lirik buat Search. Sebuah perjalanan dan fantasia jauh.

Kala di kampung, aku menatap Search hanya daripada surat khabar, majalah URTV atau kaca TV. Ada sekali aku mendengar perbualan orang kampung di warung tentang penyanyi Search, Amy, beranak di Kampung Lubok, berselang dua kampung dari kami.

Amy dan keluarganya sudah lama meninggalkan kampung itu. Mereka berhijrah ke Johor Bahru.

Sebelum aku kenal Amy secara peribadi, aku kenal Loloq. Pada suatu petang yang sudah jauh, Loloq bilang dia mahu berjumpa Amy di Ampang Point.

Amy datang. Jalannya “sendeng” – gaya yang ada juga cuba ditiru kawan-kawan di sekolah. Amy bersalam dengan Loloq. Bersalam dengan aku. Bercakap dengan Loloq. Tidak bercakap dengan aku. Duduk jauh. Aku tersudut.

“Loq, dua tahun selepas lu tak ada; gua dekat dengan M Nasir,” begitu selalu ingin aku katakan kepada Loloq. Memang dia pergi, dengan tanpa rela aku mahupun kawan-kawan yang lain. Selepas hujan.

Hanya melalui M Nasir, aku berkesempatan berbual dengan Amy – sesuatu yang tak dapat aku lakukan ketika Loloq bertemu Amy. Rupa-rupanya bersama Amy juga dengan cepat kami menang lagu rock terbaik AIM ke-20 dengan lagu “Di Bawah Gerbang Skaea”, tahun 2013; setahun selepas “Awan Nano” jadi juara AJL 26.

Ketika Loloq masih ada dan menuliskan “Gothik Malam Edan”, aku hampir tiap hari dengannya. Berbual pasal cerita-cerita Zaman Gelap di Eropah. Bagaimanakah bangsa ini boleh dikeluarkan dari zaman gelapnya?

Dalam sejarah Nusantara memang tak ada apa yang disebut sebagai zaman gelap. Apa yang ada ialah “zaman edan”. Edan bermaksud “gila”.

Tidak lain, inilah latar yang menghantar aku ke studio rakaman album “Katharsis” tempoh hari, yang dirakam lebih 700 jam. Aku sebahagian saksi Kid, Din, Nasir dan Amy merakam lagu-lagu. Semua membuat aku rasa memiliki semalam.

VIDEO: Pelancaran album Katharsis, yang pertama sejak 2006

Satu lagu pun kalau Search mendendangkan, aku cukup berbahagia. Nasibku baik, atau mungkin bebudak Search dan M Nasir-lah yang berbaik budi memberikan kesempatan aku menyumbang empat lirik: “Nama Yang Kau Lupa”, “Embun”, “Sulalatus Salatin” dan “Gagalista”.

Dalam kalangan yang menulis untuk Search, akulah yang paling mentah dan tak tergambar untuk menandingi misalnya lirik “Laila Namamu Teratas”, “Meniti Titian Usang” dan “Melayar Bahtera”.

Dalam album “Katharsis”, ada 10 lagu. S Amin Shahab, Ad Samad, Usop Kopratasa dan Ismael MS turut beri tangan dengan seni kata yang hebat-hebat. Sementara di luar bilik rakaman, aku lebih berminat bertanya tentang lipatan masa lalu Search sejak hari pertama sampai mereka mencapai segala-galanya. Search sudah merakam 12 album, yang bukan kepalang.

Di celah-celah semua album itu, aku belajar tentang populariti dan kesenimanan selalu dicemburui orang. Termasuk politikus dan mereka yang berkuasa.

Lama aku berfikir, adakah band-band rock benar-benar bersalah atau tidak sehingga ditekan kuat oleh pemerintah? Pada 1985, satu arahan memotong rambut dikeluarkan.

Search dan Wings cuba bertahan, sampailah tekanan memuncak pada 1992, mereka mengalah. Mat-mat rock menyerahkan tengkuk untuk rambut mereka diratah sang menteri. Tak ada lagi pertimbangan waras antara isi dan kulit.

Kalau dikenang-kenang, kecemburuan terhadap arus rock bukan saja oleh Menteri Penerangan Mohamed Rahmat. Tokoh besar politik negara yang lainnya merelakan dan berdiam diri, termasuklah Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

Tak ada pembelaan sama ada atas nama demokrasi mahupun hak asasi. Selain Korea Utara, hanya Malaysia yang mengenakan syarat berambut dan etika pakaian kepada rakyatnya. Arus muzik rock, walau apa cara dan alasan, nampaknya wajib disekat dan dikebumikan.

Tekanan terhadap seniman memang bukan kepada Search, Wings atau band-band rock sezamannya sahaja. Pawana dan ribut seumpama juga dihembuskan ke arah M Nasir dalam isu “siapa Mahathir?”

Bahkan, P Ramlee juga tak dipedulikan ketika dia pulang ke Malaysia dan mahu menyumbang kepada pembangunan Studio Merdeka. Sampai hujung hayat, P Ramlee kecewa.

Tak ada alasan lain mengapa semua itu terjadi, kecuali hati yang cemburu. Politikus dan sang penguasa selalu jadi pencemburu seperti dalam sidang kangaroo. Dan seperti Hitler, mereka tak berbakat. Manusia yang dikurniakan Tuhan akan bakat pada suara dan ilham adalah seniman. Bukan mereka.

Di sinilah sebuah proses penyucian perlu berlaku – katharsis! Di sini jualah rupa-rupanya jalan keluar dari zaman gelap yang serba edan.

Pada saat sang penguasa dan penjual agama mahu menidakkan seni dan kesenimanan sebagai fitrah kurniaan Ilahi, mereka rupa-rupanya sedang mengapankan diri sendiri. Jelas mereka ingin pula mengheret bangsa untuk tertimbus ke lubang hitam sejarah, tanpa kejora sedikit pun.

Mereka takkan bisa menang. Karyawan, seniman dan bangsa ini seluruhnya harus teguh! Terus melayarkan bahteranya. – 14 November, 2017.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

Iklan
Iklan