Iklan

Parti Sosialis Malaysia majukan calon Orang Asli

Radzi Razak7 years ago14th Nov 2017Berita
Iklan

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) lebih dikenali kerana perjuangannya untuk peneroka bandar dan pekerja ladang di kawasan pinggir bandar seperti Semenyih dan Kota Damansara.

Tetapi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, parti kecil itu masuk ke kawasan luar bandar, jauh di Cameron Highlands, Pahang. Ia mahu memajukan calonnya dalam kalangan Orang Asli – kelompok yang selama ini secara tradisinya totok menyokong pemerintah Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu membayangkan PSM kini mula mengembangkan pengaruhnya, biarpun saiznya kecil, dalam peta politik yang ditandai oleh dua gabungan besar, BN dan Pakatan Harapan.

Ideologi PSM mungkin masih terlihat kontroversi bagi sesetengah pihak setelah kelasnya mengenai Marxisme pada awal tahun ini disekat oleh polis, dan dituduh cuba menghidupkan semula fahaman komunis.

Namun semua itu tidak menghalang PSM mendapat keyakinan daripada Orang Asli, kumpulan masyarakat yang tersisih daripada segi politik.

Sekiranya bertanding nanti, Mohd Nor Ayat, 44, akan jadi antara segelintir aktivis Orang Asli yang masuk pilihan raya.

Aktivis dari Pos Lanai itu bukan orang asing dalam politik; beliau berkempen untuk PAS semasa PRU13.

Beliau dan rakan-rakan aktivis yang lain membantu calon PAS, Abdul Karim Nor mendapatkan undi Orang Asli yang merupakan 33% daripada 11,000 pengundi di kerusi DUN Jelai.

Mohd Nor Ayat (kanan) bergambar bersama calon PSM bagi Parlimen Cameron Highlands L. Suresh Kumar. – Gambar The Malaysian Insight, 14 November, 2017.

Pada PRU 2013 itu, Mat Nor menyumbang kepada kekalahan calon BN di pusat mengundi Titom apabila pengundi Orang Asli memberikan undi mereka buat pertama kalinya kepada calon PAS.

Tetapi calon BN, Wan Rosdy Wan Ismail akhirnya menang kerusi Jelai dengan majoriti 3,182 undi, hasil dukungan pengundi Melayu dari Felda Sungai Koyan.

Namun kata Mat Nor, Wan Rosdy sampai sekarang tidak lupa kegagalannya mendapatkan undi Orang Asli itu.

“Sampai sekarang Wan Rosdi cakap pasal itu bila berkempen,” katanya.

Jalan sukar

Orang Asli terdiri daripada 18 suku di Semenanjung Malaysia tetapi hanya membentuk lebih kurang setengah peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini.

Walaupun pembangkang seperti PKR pernah meletakkan calon Orang Asli dalam pilihan raya, tidak ada yang pernah menang biarpun bertanding di kawasan sendiri.

Long Jidin, senator Orang Asli yang pertama yang berkhidmat antara 1997 hingga 2000, bertanding kerusi DUN Bandar Muadzam Shah pada 2004 tetapi kalah kepada calon BN, Maznah Mazlan dengan 3,232 undi.

Selain PSM, Amanah yang mewakili Pakatan Harapan juga mengumumkan mahu memajukan calon Orang Asli di salah satu kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Gua Musang.

Mat Nor mahu jadi wakil rakyat kerana sudah penat melihat Orang Asli dicampak keluar dari tanah adat, seperti yang berlaku apabila empangan Jelai dibuat.

“Empangan Jelai rasanya dah siap tapi tengok penduduk kampung ditinggal begitu saja,” katanya.

Mat Nor tertarik dengan PSM setelah melihat kerja kemasyarakatan mereka selama 14 tahun di Cameron Highlands.

“Kalau ikut saya memang saya tak mahu jadi calon. Saya nak jadi penyokong. Tapi sebab rakan-rakan, saya tanya, dia orang mahu juga saya jadi calon, saya tak boleh tolak.

“Kalau saya tolak siapa lagi? Saya fikir baik saya terima tanggung jawab itu.

“Orang Asli lebih kenal saya di kawasan ini. Saya dapat mewakili terus suara kami dan dapat mewakili lebih baik daripada BN.”

Walaupun yakin akan dapat sokongan daripada masyarakatnya, Mat Nor juga sedar beliau berdepan cabaran yang besar untuk menang kerusi negeri terutamanya hendak mendapatkan undi Melayu yang membentuk 66% pengundi.

“Susah nak masuk kawasan Melayu ini. Kami tumpukan beri risalah saja, bukan interaksi. Sebab mereka masih dalam kongkongan Umno dan PAS,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap agar sokongan kuat daripada masyarakat Temiar di 12 pusat daerah pengundi di lima Pos iaitu Pos Lanai, Pos Lenjang, Pos Titom, Pos Senderut dan Pos Betau.

Tetapi Mat Nor juga sedar, dalam kalangan kira-kira 3,000 pengundi itu ada banyak juga yang menyokong BN.

“Bagi beras 5kg sebelum pilihan raya, terus undi BN sebab terhutang budi. Itu kerja kami untuk memberi penerangan,” katanya disambut ketawa beberapa rakan-rakannya. – 14 November, 2017.

Iklan
Iklan