Belanja Kabinet Muhyiddin naik sehingga lebih 30%
Iklan
ANALISIS terhadap Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menunjukkan jumlah menteri dan timbalan menteri yang ramai akan menelan belanja tambahan sebanyak RM7.6 juta setahun berbanding Kabinet Pakatan Harapan.
Barisan menteri dan timbalan menteri baharu diketuai Muhyiddin yang diumumkan pada Isnin lalu adalah lebih 15 orang berbanding Kabinet PH dan digelar yang kedua terbesar dalam sejarah Malaysia.
Tidak seperti kerajaan PH, Muhyiddin juga tidak mengumumkan pemotongan gaji 10% barisan anggota Kabinet, yang bermaksud setiap bulan gaji dan elaun menteri meningkat sebanyak RM630,000 atau RM7.6 juta setahun.
Dalam pentadbiran PH, beza elaun antara menteri dan timbalan menteri adalah kurang RM3,000 dan boleh dianggap serupa dalam Kabinet sekarang, tetapi dengan jumlah bayaran tambahan yang perlu dibayar kepada empat menteri kanan yang mengisi kekosongan timbalan perdana menteri.
Malah, walaupun kerajaan kini mengumumkan pemotongan 10% gaji anggota Kabinetnya, belanja tambahan setiap bulan masih mencecah RM540,000 atau RM6.5 juta setahun.
Kabinet PH mempunyai 55 orang menteri dan timbalan menteri, manakala Kabinet Muhyiddin mempunyai 70 orang- 31 menteri dan 38 timbalan menteri.
Terdapat juga lima menteri dan 11 timbalan menteri baharu, walaupun tiada timbalan perdana menteri yang membentuk Kabinet Perikatan Nasional itu.
Sekiranya Muhyiddin mengikut jejak Dr Mahathir Mohamad yang memotong 10% gajinya, beliau akan menerima RM58,604 gaji dan elaun sebulan, sama yang diterima Najib Razak. Jika Muhyiddin memotong gajinya sendiri sebanyak 10%, ia serupa dengan Dr Mahathir- RM56,318 sebulan.
Jumlahnya mencecah RM675,816 setahun jika beliau memotong gajinya sendiri atau RM703,248 setahun jika beliau tidak berbuat demikian.
Keseluruhannya, kerajaan PH membelanjakan RM10.5 juta sebulan untuk bayaran gaji dan elaun anggota Kabinet. Kerajaan PN pula dijangka berbelanja hampir RM13 juta atau RM12.5 juta jika pemotongan gaji 10% dibuat.
Buat masa sekarang, gaji untuk seorang menteri Kabinet PN adalah lebih RM1,491 berbanding seorang menteri PH. Perbezaan itu akan terhapus sekiranya Kabinet PN melakukan pemotongan gaji, tetapi bayaran tambahn untuk lima menteri masih antara RM200,000 (potong 10%) sehingga RM240,000 sebulan jika tiada pemotongan berlaku.
Ini adalah peningkatan sebanyak 19% sehingga 23.6% perbelanjaan gaji bulanan untuk Kabinet berbanding kerajaan terdahulu.
Bagaimanapun, disebabkan tiada timbalan perdana menteri dalam Kabinet Muhyiddin, ia turut menjimatkan RM42,566 (potong 10%) sehingga RM44,383 jika tiada pemotongan.
Bagi timbalan menteri pula, tambahan 11 orang yang wujud bermaksud tambahan RM382,382 sebulan, naik 40%, walaupun Muhyiddin mengumumkan pemotongan 10% gaji.
Secara keseluruhannya, kerajaan PH berbelanja lebih RM2 juta sebulan untuk gaji dan elaun anggota Kabinet. Tetapi, kerajaan PN dijangka membelanjakan antara RM2.63 juta sehingga RM2.71 juta untuk tujuan sama, peningkatan sebanyak 25% sehingga 30%.
Ia adalah tambahan perbelanjaan antara RM6.5 juta sehingga RM7.5 juta setahun.
Kerajaan Najib sebelum ini mempunyai 68 anggota Kabinet- 33 menteri dan 33 timbalan menteri- tidak termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri.
Dibandingkan dengan Kabinet PN, perbezaan perbelanjaan untuk Kabinet Najib adalah sebanyak RM30,000 sehingga RM150,000.
Ditanya sama ada perbelanjaan ini bijah, seorang penganalisis ekonomi berkata jumlah itu tidak sepenting prestasi mereka.
Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Dewan Perusahaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) Lee Xing Yu berkata perkara paling mustahak sekarang adalah untuk Kabinet baharu menjalankan tugas dengan berkesan dan merangsang semula ekonomi.
Lee menambah, Kabinet PN sekarang selain mempunyai satu lagi kementerian baharu berbanding PH, mereka juga perlu mengatasi isu pertindihan bidang kuasa.
Jelasnya, kerajaan perlu memberi tumpuan penuh kepada situasi ekonomi semasa, terutama pasaran eksport yang merupakan faktor utama kelangsungan ekonomi Malaysia selain merangsang ekonomi tempatan dan meraih semula keyakinan pelabur asing yang makin merudum sejak dua tahun lepas.
Katanya, sukar untuk pasaran eksport berkembang kerana kelembapan ekonomi global tetapi kerajaan perlu mengekalkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara. – 13 Mac, 2020.