Anak muda mahu berarak di KL, kenang gerakan politik sebelum Merdeka
Iklan
SEKUMPULAN anak muda mahu menganjurkan rapat umum memperingati Angkatan Pemuda Insaf (API), yang ditubuhkan lebih tujuh dekad, bulan depan bagi menyemarakkan semangat anak muda Malaysia yang kini dikatakan sudah putus asa dalam politik, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.
API, sebuah gerakan politik kiri zaman sebelum Merdeka yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam, bermula sebagai sayap Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), sebelum ia memutuskan bergerak sendiri pada 1946 dan kemudian diharamkan oleh British tidak sampai setahun kemudian.
Kumpulan anak muda yang menggelarkan diri sebagai Malaysia Muda ini merancang berarak di sekitar Kuala Lumpur pada 23 Disember ini — bersempena tarikh penganjuran kongres pertama API pada 1946 — lengkap dengan seragam API, kemeja putih dengan lilitan merah di lengan kiri.
Jurucakapnya, Amir Abd Hadi bagaimanapun berkata rapat umum dan perarakan itu bukan satu tunjuk perasaan sebaliknya hanya “sebuah pementasan semula sejarah” bagi mengenang satu episod bermakna dalam sejarah negara.
“Ini bukanlah demonstrasi tapi simulation mengulang kembali sejarah. Jika berlaku halangan, saya tak boleh menolak ia akan menjadi satu demonstrasi tapi sekarang ini tujuan kita bukan nak demonstrasi tapi nak angkat sejarah,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Sidang media itu turut dihadiri oleh peguam dan aktivis Fadiah Nadwa Fikri, aktivis mahasiswa Anis Syafiqah Mohd Yusof dan aktivis politik Jay Jay Denis.
Kumpulan anak muda ini sudah pun mula bergerak mengadakan pertemuan dengan kumpulan-kumpulan anak muda lain di seluruh negara bagi mendapatkan sokongan menjayakan rapat umum itu nanti.
Mereka bagaimanapun menafikan terlibat dengan mana-mana parti politik, sebaliknya mengajak anak muda yang sudah muak dengan politik untuk bersama-sama dalam gerakan baru itu.
“Kumpalan ini tak didokong mana-mana parti politik, tak terlibat dengan mana-mana individu yang terlibat dengan parti politik dan tak ada (hubungan) dengan parti poltik.
“Inilah gerakan anak muda. Kita harap kawan-kawan kita yang tak sertai parti politik boleh bersama kita,” katanya.
Ditanya mengenai mengapa memilih API, yang diharamkan British setahun selepas penubuhannya pada 1946, Fadiah berkata semangat yang ditunjukkan oleh Ahmad Boestamam dan rakan-rakan mudanya ketika itu, yang berjaya menyatukan rakyat Tanah Melayu dan bangsa-bangsa berlainan ketika itu untuk berjuang mendapatkan keadaan yang lebih baik, patut menjadi ikutan anak muda masa kini.
“API adalah golongan pemuda yang bangkit zaman penjajahan British, zaman kemerdekaan. Kita mahu suntik kembali semangat ini di mana anak muda dapat hidup dalam Malaysia yang lebih baik.
“Ini adalah sejarah kita. Kita akan ambil naratif ini untuk bentuk kesedaran. Semua rakyat Malaysia berhak tahu sejarah kita.
“Apa yang ingin kami capai, jelas… kami ingin jadi platform yang ingin angkat suara rakyat Malaysia untuk kebaikan Malaysia sendiri,” katanya.
Fadiah menambah gerakan ini terbuka kepada semua rakyat untuk bertindak membentuk sebuah Malaysia yang “lebih adil, bermakna kepada semua.”
API pernah disifatkan oleh British sebagai pertubuhan radikal yang berjaya menyatukan pelbagai persatuan dan parti politik dari pelbagai latar belakang untuk membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada 1947.
Kebanyakan tokoh yang mendukung API turut kemudiannya aktif dalam politik seperti Ahmad Boestamam sendiri yang menjadi Ahli Parlimen Setapak pada 1959 dan Ghabar Baba yang kemudian menyertai Umno pada 1951 sehingga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri antara 1986 hingga 1993. – 14 November, 2017.