Putrajaya perlu suntik RM20 bilion untuk Kementerian Kesihatan
Iklan
AHLI Parlimen Klang Charles Santiago (DAP) hari ini menggesa Putrajaya menyuntik tambahan RM20.7 bilion ke dalam peruntukan belanjawan Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata ini bagi memastikan kementerian itu mempunyai dana yang cukup untuk menyediakan ubat yang mampu dimiliki.
Menurut Charles, tambahan peruntukan itu akan memenuhi syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 7% Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara harus diperuntukkan untuk penjagaan kesihatan.
“Lewat petang semalam, saya memfailkan usul di bawah Seksyen 55 (3) dan 57 (2) Perintah Tetap Parlimen untuk memindahkan dana dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan kepada Kementerian Kesihatan.
“Cadangan saya memerlukan pemindahan masing-masing RM12.4 bilion dan RM8.3 bilion daripada JPM dan Kementerian Pertahanan. Tujuan pemindahan dana ini adalah untuk memastikan Kementerian Kesiahatan mempunyai wang untuk memberi ubat-ubatan yang mampu dimiliki oleh semua rakyat Malaysia,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata walaupun kerajaan masih memberi subsidi kepada pesakit di hospital awam, subsidi lain telah dihapuskan dan kosnya ditanggung pesakit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Baru-baru ini kementerian menyatakan kos ubat untuk barah payudara dan barah kolorektal ialah anatara RM50,000 hingga Rm300,000.
“Dan menteri kesihatan mengakui bahawa dana yang tidak cukup menyebabkan 39% perbelanjaan “keluar dari saku”, dan ditanggung oleh pesakit,” katanya.
Beliau juga menggesa ahli-ahli Parlimen supaya menyokong usaha mndesak kerajaan memperuntukkan 7% daripada KDNK untuk penjagaan kesihatan.
Peruntukan Kementerian Kesihatan di bawah Bajet 2018 ialah RM26.48 bilion, iaitu 9.5% atau Rm1.7 bilion lebih daripada peruntukan bajet 2017. – 14 November, 2017.