Perjanjian kontroversi kacau undi BN di Felda
Iklan
KIRA-KIRA 15 tahun lalu, puluhan ribu peneroka menandatangani perjanjian tanam semula dengan Felda yang didakwa oleh aktivis jadi punca kepada antara masalah utama yang mereka hadapi hari ini – hutang yang bertompok-tompok.
Sesetengah peneroka dan peguam mereka mendakwa perjanjian itu berat sebelah.
Sesetengah yang lain duduk dengan ahli politik Pakatan Harapan (PH) dan cuba menggarapnya menjadi satu isu utama yang boleh menarik undi Felda yang boleh memberi kesan kepada 56 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, yang kebanyakannya disandang oleh Barisan Nasional (BN).
Pada masa ini ada 112,635 peneroka tetapi angka itu tidak termasuk isteri dan anak mereka.
“Kami sedang membentuk sebuah jawatankuasa untuk mengkaji isu ini pada peringkat parti terlebih dulu sebelum memajukannya kepada Majlis Presiden PH,” kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.
Amanah adalah sebahagian daripada gabungan empat parti dalam PH bersama-sama Bersatu, PKR dan DAP.
“Kita berharap akan dapat mengadakan satu siri jelajah ke kawasan Felda untuk menjelaskan isu ini sama seperti yang kita lakukan dengan skandal kewangan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan menawarkan penyelesaiannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Seorang peguam yang meneliti perjanjian itu, Dr Zulqarnain Luqman berkata perjanjian berkenaan ditandatangani antara 95% daripada peneroka dengan Felda bagi membolehkan agensi itu menanam semula pokok lama.
Hisommuddin Bakar, anak seorang peneroka dari Felda Chini di Pahang berkata setiap peneroka Felda memiliki empat hektar atau 10 ekar kelapa sawit atau getah, dan sejak tahun 2000, kebanyakan pokok berkenaan sudah terlalu tua untuk menghasilkan buah atau getah.
Katanya, Felda mengemukakan satu perjanjian yang mensyaratkan peneroka untuk melepaskan pengurusan tanah mereka kepada agensi itu bagi membolehkan ia menanam semula dengan pokok baharu.
Proses penanaman semula itu mengambil masa tiga tahun. Dalam tempoh itu, tanah tersebut tidak mengeluarkan hasil. Dalam tempoh itu juga, setiap peneroka dibayar elaun sara hidup sebanyak RM1,500 sebulan.
“Pada penghujung tiga tahun itu, apabila pokok mula mengeluarkan hasil, Felda terus menguruskan tanah peneroka termasuk menjaga pokok dan menuai hasilnya.
“Felda tidak menyerahkan pegangan tanah itu kepada peneroka kerana agensi itu mendakwa peneroka perlu membayar kos tanah semula yang mencecah sampai beratus ribu ringgit,” kata Hisommuddin.
Peneroka juga dimaklumkan mereka perlu membayar semula RM1,500 wang sara hidup yang mereka terima selama tiga tahun sepanjang Felda melakukan penanaman semula.
Daripada memulangkan pegangan, Felda sebaliknya terus menguruskan tanah tersebut bagi pihak peneroka dan terus juga membayar mereka RM1,500 sebulan.
Peneroka mendakwa hutang ini boleh cecah sehingga lebih RM100,000 dan agensi itu tidak berterus-terang dengan mereka tentang berapakah jumlah sebenar hutang tersebut.
“Persoalannya, bilakah hutang peneroka ini akan selesai? Apakah ia akan diwarisi oleh anak cucu mereka?” tanya Hisommuddin.
Menurut seorang bekas pengurus ladang, Shariman Alang Ahmad, pokok kelapa sawit mengambil masa tiga tahun untuk tumbuh dan berbuah.
“Hasilnya akan sampai ke peringkat optimum selepas berumur lapan hingga sembilan tahun dan akan menurun selepas berumur 20 tahun ke atas,” kata Shariman, yang pernah berkhidmat dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Zulqarnain berkata kerajaan perlu menyemak semula perjanjian tersebut.
“Ia terlalu memihak pada Felda dan menekan peneroka,” katanya.
Seorang lagi peguam berkata peneroka terikat dengan hutang manakala jumlah terhutang ditentukan oleh perjanjian yang menyatakan tanah milik peneroka diserahkan kepada Felda dan mereka perlu membayar kos pengurusan dan tanam semula.
Hutang itu, kata peguam yang enggan namanya didedahkan, boleh juga diturunkan kepada waris peneroka.
Klausa (6)(c) perjanjian itu menyatakan seperti berikut: “Peneroka bersetuju tidak boleh dia atas apa-apa sebab dan/atau di dalam apa-apa keadaan menamatkan perjanjian ini sehingga kesemua hutang serta bayaran yang perlu dibuat menurut perjanjian ini termasuk pendahuluan pendapatan telah selesai dibayar dengan sepenuhnya kepada Felda.” – 15 November, 2017.