Iklan

Tuduhan terhadap Zakir Naik berunsur politik, kata peguam

Melati A. Jalil7 years ago15th Nov 2017Berita
Zakirnaik um perkasa 16042017 tmikamal 04
Penceramah kontroversi Zakir Naik dipercayai berada di negara ini dan diberikan status penduduk tetap di Malaysia, lima tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2017.
Iklan

PENDAKWAH Islam yang kini dalam pelarian, Dr Zakir Naik bersedia untuk melawan permohonan ekstradisi dari India, kata peguamnya, menambah yang pertuduhan dikenakan terhadapnya bermotifkan politik.

Agensi anti keganasan India sudah menyediakan pertuduhan terhadap Zakir sementara pihak berkuasa India juga sudah menarik balik pasportnya pada Julai lalu atas syor dibuat Agensi Siasatan Negara India (NIA).

Lembaga Pengarah Penguat kuasa (ED) negara itu turut menahan pembantu yang rapat dengan Zakir iaitu Aamir Gazdar, atas dakwaan membantu Zakir dalam “penyaluran dana dan pengubahan wang haram menerusi transaksi tunai” dan juga Arshi Qureshi serta Rizwan Khan, didakwa menghasut 21 belia meninggalkan India untuk menyertai Islamic State (IS).

Peguam Zakir di Malaysia, Shaharudin Ali bagaimanapun berkata Zakir berhak diberikan segala peluang yang ada untuk menggunakan haknya di Malaysia sebelum dihantar ke India.

“Dan berdasarkan kepada jangkaan kami, ada kemungkinan dia terdedah kepada tuduhan berunsurkan politik di tanah airnya.

“Ada kemungkinan tuduhan terhadap Zakir di India tercemar dengan emosi dan banyak faktor lain. Kami tidak mahu dia menjadi mangsa semua itu,” kata Shaharudin kepada The Malaysian Insight.

Dilaporkan India sedang memuktamadkan permohonan rasmi kepada Malaysia untuk Zakir diekstradisi bagi membolehkan dia dikenakan pertuduhan “mempromosikan kebencian antara kumpulan berbeza agama di India menerusi ucapan awam dan ceramah”.

Shaharudin berkata setakat ini tidak ada perkembangan terbaru berhubung permohonan ekstradisi itu, dan permohonan untuk menghantar pulang Zakir ke India perlu dibuat menerusi Wisma Putra dan informasi itu kemudian perlu dikemukakan kepada peguam negara.

“Kami akan lawan setiap permohonan untuk ekstradisi Zakir ke India, tetapi kami hanya boleh lawan apabila menerima waran tangkap atau permohonan khas dari kerajaan India.

“Buat masa ini, kami tunggu saja, belum dengar apa-apa lagi. Kami perlu lihat dokumen itu sebaik saja ia tiba di sini,” katanya.

Shaharudin, yang sering berhubung dengan Zakir berkata penceramah kontroversi itu berada di negara ini, tetapi enggan mengulas panjang. Zakir diberikan status penduduk tetap di Malaysia, lima tahun lalu.

Dalam rayuannya kepada Interpol, Zakir didakwa menulis agensi di India menyasarkannya secara tidak adil, hanya kerana dia beragama Islam, dan berkata semua ucapannya hanya menganjurkan keamanan dan dia menafikan terbabit mempromosikan keganasan atau jihad.

Zakir berkata dia menyampaikan ceramah Islam sejak 25 tahun lalu di beberapa negara, di mana dia dihormati dan dialu-alukan.

Katanya, agensi India melanggar hak kebebasannya untuk bersuara dengan mengharamkan NGO Islamic Research Foundation (IRF) yang diasaskan dan menghalangnya berceramah mengenai Islam.

Sementara itu, Shaharudin sekali lagi berkata beliau sudah menulis kepada peguam negara dan ketua polis negara untuk memaklumkan kepadanya jika ada perkembangan baru dari Wisma Putra atau India.

“Selagi kami tidak lihat waran tangkap, sama ada dari India atau Interpol, atau permohonan khas dari Kementerian Hal Ehwal Luar India, kami tidak boleh buat apa-apa, tunggu saja,” katanya.

Pada 8 November, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Zakir akan dihantar pulang jika kerajaan India memohon ekstradisi.

Katanya, Zakir juga tidak melanggar undang-undang atau melakukan kesalahan di Malaysia.

Zakir, 52, seorang doktor perubatan mencetuskan kontroversi menerusi pendirian ekstremnya di mana dia mengesyorkan hukuman mati kepada homoseksual dan golongan yang mengabaikan Islam, menurut laporan media.

Dia juga dikatakan diharamkan masuk ke UK. – 15 November, 2017.

Iklan
Iklan